19
Fri, Jul
46 Artikel Baru

Geng Ustaz desak Asmuni mohon maaf secara terbuka

Nasional
Typography

NGO Geng Ustaz merasa sangat kecewa dan tersinggung di atas tuduhan melulu yang dilemparkan oleh YB Asmuni Awi, Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan terhadap Almarhum Ustaz Norazli Musa yang telah meninggal dunia di Perkubur Baqi’, Madinah pada 12 Mac 2019 yang lalu.

Ucapan beliau dengan penuh emosi dan prejudis merupakan perkara yang sangat dilarang di dalam agama terhadap orang yang telah meninggal dunia. Isu yang dibangkitkan melibatkan insan yang sudah kembali ke rahmatullah adalah isu lama di mana suara audio itu merupakan suara Almarhum Ustaz Norazli Musa. Sewajarnya beliau mendapat kepastian terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum dan menyebar audio suara Almarhum Ustaz Norazli Musa dalam sidang Dun Perak kelmarin.

Seharusnya orang yang hidup berkata baik kepada si mati dan bukan mengungkitkan perkara yang tidak baik. Ini berdasarkan kepada hadith Ummu Salamah (R.A) bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‎إِنَّ الرُّوحَ إِذَا قُبِضَ تَبِعَهُ الْبَصَرُ فَضَجَّ نَاسٌ مِنْ أَهْلِهِ فَقَالَ لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِلَّا بِخَيْرٍ فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ ثُمَّ قَالَ اللهُمَّ اغْفِرْ لِأَبِي سَلَمَةَ وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya roh apabila diambil nescaya penglihatan mengikutnya. Ketika itu orang ramai di kalangan ahlinya riuh rendah lantas sabda Baginda SAW: ‘Jangan kamu doa atas diri kamu kecuali yang baik. Ini kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu kata. Kemudian Baginda berdoa : ‘Ya Allah, ampunkan bagi Abi Salamah, angkatlah darjatnya di kalangan orang yang mendapat petunjuk…” [Riwayat Muslim (920)]

Orang awam sedia mengetahui bahawa dalam isu ini semasa Almarhum Ustaz Norazli masih hidup beliau telah bertindak menyaman pihak yang memfitnahnya yang kononnya beliau menyatakan bahawa "siapa yang keluar jamaah Islam ( PAS ) maka ia jatuh kafir", justeru pihak Mahkamah mendapati bahawa pihak defendan telah melakukan fitnah terhadap plaintif [Almarhum Ustaz Norazli Musa] dan Mahkamah Seksyen Kota Bharu Kelantan telah memberi kemenangan kepada Almarhum Ustaz Norazli Musa dalam kes tersebut.

Kita sedia maklum bahawa Almarhum Ustaz Norazli Musa telah disemadikan di tempat yang mulia seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW. Menyentuh perihal Almarhum Ustaz Norazli Musa dalam keadaan beliau tidak dapat membela diri adalah satu tindakan yang jelek dan hina yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang memegang taklifan sebagai Exco Agama.

Justeru, saya Kamalulhysham Mohd Suhut mewakili seluruh barisan kepimpinan Exco Pertubuhan Pendukung Dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz) mendesak agar YB Asmuni Awi segera membuat permohonan maaf secara terbuka di atas tindakan biadap beliau kepada kaum keluarga, anak-anak dan seluruh ahli keluarga serta semua sahabat handai Almarhum Ustaz Norazli Musa yang masih lagi merasa kesedihan dengan pemergian beliau.

“Ulamak Memimpin Ummah“

KAMALULHYSHAM MOHD SUHUT
Presiden Geng Ustaz
18 Sya'aban 1440H | 24 April 2019 – HARAKAHDAILY 24/4/2019