17
Wed, Jul
46 Artikel Baru

Mungkinkah Tok Mat berjaya lengkapkan hatrik?

Nasional
Typography

CUACA panas sejak pagi tadi hingga jam 2.30 petang ini dan hujan yang mula membasahi tanah adat ini mengiringi semangat membara para pengundi berdaftar N.27 Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau keluar demi menunaikan tanggungjawab mereka.

14 Pusat Daerah Mengundi (PDM) masih dipenuhi para pengundi yang beratur panjang dan sabar menantikan giliran mereka.

Peraih undi pula sibuk melakukan tugas memancing undi dengan pelbagai gaya dan tarikan, semuanya mahu parti masing-masing menang atau calon mereka diangkat jadi wakil rakyat.

Dari pemerhatian krew Harakah sejak pagi tadi, BN mendominasi suasana dengan pengundi-pengundi yang hadir ke pusat mengundi menunjukkan kecenderungan mereka menyokong calon BN.

Apatah lagi, dengan kehadiran pimpinan PAS, sambutan hangat diberikan oleh pengundi di Rantau.

Rata-rata pengundi memberikan signal baik kepada calon BN, Dato’ Seri Mohamad Hasan, anak tempatan yang sangat dikenali dan diketahui latar belakangnya.

Tok Mat tak perlu diperkenalkan, dari Kanchong hingga ke Bandar Sri Sendayan, dari Gemas hingga ke Nilai, masyarakat Rantay dan rakyat Negeri Sembilan kenal akan watak tegas tetapi prihatin dan wibawa ini.

Pastinya rekod rekod cemerlangnya mentadbir sejak tahun 2004 walau dicalar dengan pelbagai tohmahan, namun ia tidak terusik kerana orang negeri ini memahami serta mengenali peranannya di sini.

Atas rekod-rekod itu jika dibanding calon lawan, Dr Streram, maka selayaknya bak kata Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa Tok Mat insan yang seharusnya dipilih pengundi di sini hari ini dalam menghantar Ketua Pembangkang Dun Negeri Sembilan yang wibawa dan berpengalaman.

Malahan kemenangan di Rantau jika diizinkan Yang Maha Pencipta, akan menjadi penyuntik kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

Mungkin malam ini, hatrik akan berlaku dengan nama Mohammad Hasan diumumkan sebagai pemenang?

Segalanya berkemungkinan, dan Dialah sebaik mentakdirkan segalanya.

Lebih separuh daripada 20,793 pengundi berdaftar telah membuang undi di 14 PDM.

PRK Rantau diadakan berikutan Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding calon Umno, Mohamad Hasan sebagai tidak sah dan pemilihan semula perlu diadakan. – HARAKAHDAILY 13/4/2019