26
Fri, Apr
8 Artikel Baru

Bimbang Kor Ming membimbang Amerika

Kor Ming dan sepupunya bersama Almarhum Tok Guru Nik Aziz semasa bertandang ke Kelantan.

Nasional
Typography

ADAPUN dakwaan/provokasi Nga Kor Ming, Timbalan Speaker yang juga pengerusi DAP Perak betapa taawun Umno-PAS atau UMPAS bakal membentuk pemerintahan Taliban di Malaysia adalah dongeng karut kumpulan jahiliah yang terbaru.

Provokasi itu adalah sambungan tempelak bossnya Guan Eng yang mendakwa UMPAS demi memerang bukan Melayu yang beberapa jam kemudian dicopnya bukan memerang tapi mensasar.

Apapun walau dimodifikasi sudah ada hantuan perang itu di lubuk perutnya. Dan sambung Kor Ming yang menempelak azam memperkasa penyatuan ummah sebagai gara-gara Taliban adalah mengigaukan perang belasan tahun di Afghanistan antara Amerika dan Taliban.

Ia karut dan propaganda jahiliah terhadap Islam dulu, kini dan akan datang.

Sekalipun karut tetapi dibimbang ia membimbangkan Amerika. Amerika telah menghabiskan kekayaan dan kuasanya memerangi Taliban dan masih terkial-kial untuk menamatkannya. Kerana jenuh dan penatnya Taliban belum dapat dimatikan, ia berunding pula dengan musuhnya bagi menamatkan perang itu.

Sekarang Kor Ming bagitahu Taliban hendak muncul pula di Malaysia. Yang membimbangkan takut Amerika terpengaruh dengan DAP lalu mengalih atau menyambung pula perang ke Malaysia. Jika Amerika dibantu oleh sekutunya Australia, Eropah dan lain-lain menyerang Taliban, adalah perang itu seminggu dua atau berpanjangan seperti di Afghanistan dan Pakistan itu?

Orang Melayu bersama UMPAS itu kira-kira 70 peratus. Yang bersama PH kurang dari 20 peratus. Jika diceroboh Amerika, adakah mereka menyerah diri seperti bangsa-bangsa Eropah menyerah wilayah mereka kepada Hitler bila mereka diancam Nazi Jerman?

Jika mereka menyerah mungkin OK bagi DAP dan PKR. Tetapi kalau mereka jadi macam Yaman dan Syria, yang sengsara bukan sekadar Islam dan Melayu, bukan Melayu, Cina, India dan lain-lain binasa belaka. Bila Amerka datang segala anasir Daesh dan segala anasir keganasan akan datang juga. Mereka tembak siapa dapat ditembak, tak kira Melayu, Cina atau DAP.

China, Rusia dan lain-lain tidak akan biarkan. Mereka ikut menembak dari darat dan langit. Orang Melayu yang ketinggalan ekonomi rata-rata miskin. Yang kaya dan bergedung Cina. Jika perang menjadikan Malaysia padang jarak dan padang tekukur, yang banyak binasa adalah gedung-gedung Cina.

Rumah Melayu yang banyak terbakar yang beratap rumbia. Banglo, rumah mewah, pencakar ozon yang banyak Cina punya. Melayu rugi, Cina lagi rugi. Bila sudah jadi macam Afghanistan, Yaman dan Syria jangan fikir Singapura kebal. Semua pelabur lari, Singapura hendak makan apa?

Tetapi Ameerka tahu, 60 tahun merdeka BN perintah Kelantan 11 tahun saja. 50 tahun lagi di bawah PAS. Tidak nampak Kelantan macam diperintah Taliban. Kelantan di bawah PAS lama sebelum Taliban muncul di dunia. Kalau Kelantan jadi Taliban Amerika berperang di Malaysia dulu sebelum berperang di Afghanistan.

Semasa Kor Ming dan sepupunya MP DAP Beruas sekarang dari Exco Perak masa PAS jadi Menteri Besarnya, mereka bertandang ke Kelantan dan dengar kuliah Jumaat Almarhum Tok Guru Nik Aziz. Mereka duduk di celah ribuan orang PAS. Tok Guru tidak ajar orang Islam buru orang bukan Islam dari Kelantan. 

Bahkan orang Cina dan India Kelantan jauh lebih selesa dari orang Islam di Pulau Pinang yang DAP perintah.

Mungkin Umno tidak seadil terhadap bukan Melayu seperti yang Islam mahu, tetapi di bawah Umno pun bukan Melayu hidup seperti di syurga. – HARAKAHDAILY 21/3/2019