19
Wed, Jun
14 Artikel Baru

200 nelayan diancam pencemaran lumpur

Nelayan pantai Teluk Bahang menunjukkan pukat yang rosak diancam lumpur.

Nasional
Typography

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang,Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi pencemaran sisa lumpur di perairan Teluk Bahang ketika ini.

Masalah yang berlarutan sejak lebih setahun yang lalu itu kini semakin kerap berlaku serta mengancam kehidupan lebih 200 nelayan pantai di kawasan berkenaan.

Dalam tinjauan yang dibuat nelayan-nelayan yang terlibat memberitahu SAM bahawa ia di percayai berpunca dari tindakan kapal pengangkut sisa lumpur dari tapak projek penambakan laut di Persiaran Gurney membuang bahan itu ketika dalam perjalanan ke Pulau Kendi.

Di samping lumpur terdapat bahan buangan lain seperti sisa kayu dan besi melekat pada pukat nelayan-nelayan di sini menyebabkan pukat menjadi rosak dan mereka yang terlibat telah mengalami kerugian antara RM300 hingga RM7,000 seorang.

SAM difahamkan,Ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan di kawasan ini juga turut berkurangan menyebabkan hasil tangkapan mereka merosot melebihi 50 peratus setiap kali pencemaran itu berlaku.

Sehubungan itu SAM meminta Jabatan Perikanan negeri mengadakan perjumpaan dengan nelayan-nelayan pantai Teluk Bahang bagi membincangkan masalah ini dan masa depan kehidupan mereka yang terjejas akibat kejadian tersebut.

Bantuan atau pampasan wajar diberikan kepada semua mangsa kejadian ini kerana kerugian akibat kerosakan pukat yang dialami adalah besar dan mereka terpaksa mengambil masa yang lama untuk turun semula ke laut bagi menjalankan aktiviti tangkapan.

SAM kesal walau pun masalah ini membelenggu kehidupan masyarakat nelayan di kawasan itu namun tidak ada perhatian serius yang diberikan atau tindakan berkesan oleh pihak berkenaan.

SAM percaya dan bimbang kesan yang lebih buruk akan berlaku ke atas alam sekitar dan kehidupan nelayan pantai di negeri ini jika projek penambakan laut diteruskan. Lihatlah apa yang berlaku di Tanjong Tokong, Gelugor, Batu Uban, Queensbay dan Persiaran Gurney. – HARAKAHDAILY 21/3/2019

Penulis ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia.