26
Sun, May
38 Artikel Baru

Ulamak PAS kecam tindakan ganas

Nasional
Typography

DUNIA dikejutkan dengan tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan oleh pelampau yang telah melakukan pembunuhan kejam di dua buah masjid di New Zealand hari ini. Lebih menyedihkan, tragedi yang telah meragut lebih 40 nyawa itu dilakukan secara ‘live' ketika umat Islam melaksanakan ibadah.

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengutuk keras serangan ganas ini dan menganggap tindakan ini melampaui batasan kemanusiaan. Ini kerana mereka telah mensasarkan orang awam yang tidak bersalah di tempat yang suci.

DUPP turut mengecam kenyataan dangkal daripada seorang senator dari Australia yang cuba meletakkan kesalahan kepada peningkatan immigrant muslim yang dianggap sebagai punca. Adakah beliau keliru siapa mangsa yang sebenar? Islamophobia seperti ini perlu dihentikan.

Segala bentuk keganasan dan gejala ekstremisme adalah suatu yang perlu dikutuk oleh semua pihak kerana ia merupakan kejahatan rentas agama. Membunuh masyarakat awam yang tidak berdosa walau apa sahaja agama merupakan tindakan yang jahat lagi berdosa besar. Ini ditegaskan dalam Islam melalui firman Allah SWT:

{وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَنْ قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِفْ فِي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنْصُورًا}

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan suatu (alasan) yang benar. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh. Sesungguhnya dia adalah orang yang mendapat pertolongan.” [Al-Isra': 33]

Dalam pada itu, DUPP memberi sokongan penuh kepada pihak berkuasa dan kerajaan New Zealand dalam melaksanakan rawatan, siasatan dan tindakan lanjut khususnya bagi memastikan keselamatan awam dan mengelakkan kejadian seperti ini berulang.

DUPP juga ingin melahirkan rasa simpati kepada umat Islam di New Zealand khususnya kepada keluarga mangsa tragedi terbabit. Semoga Allah mengurniakan mati syahid kepada mangsa dan memberi balasan setimpal kepada kumpulan pengganas tersebut.

“Islam Memimpin”
“Islam Jalan Penyelesaian”

USTAZ HAJI MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
8 Rejab 1440 / 15 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 15/3/2019