18
Sun, Aug
27 Artikel Baru

Kerjasama PAS-Umno: PH-DAP gerun

Nasional
Typography

APABILA bermula saja sidang Dewan Rakyat, sekali lagi PAS menjadi mangsa fitnah. Agak menghairankan kenapa PAS yang hanya mempunyai 18 kerusi Parlimen diserang bertubi- tubi oleh ahli Parlimen PH terutamanya DAP. Bermula dengan MP Johor Bahru, Akmal Nasir yang tenggelam punca menuduh PAS tanpa fakta, akhirnya terpaksa menarik balik kenyataan beliau.

Kerjasama PAS-Umno sudah dimomok serta dijual kepada umum menjadi kesalahan besar sebagai pemecah belah perpaduan rakyat dan membawa kerosakan sebagaimana Taliban di Afghanistan. Ini semua karut, dusta dan fitnah semata-mata. PAS termasuk mana-mana pimpinannya belum pernah zalim, kejam dan bersikap tidak adil kepada orang bukan Islam sejak dari penubuhannya.

Semenjak 29 tahun PAS perintah Kelantan, belum pernah PAS zalim dan tindas orang bukan Islam. Tidak pernah pula di halau orang bukan Islam malah salah satu patung Buddha terbesar di Asia Tenggara terletak di Kelantan. Begitu juga ketika PAS perintah Kedah termasuk juga Terengganu. Tiada langsung bukti PAS pernah berlaku sedemikian apatah lagi menghampiri cara Taliban. Semuanya fitnah!

Kenyataan Lim Guan Eng dan Nga Kor Meng sebenarnya satu kenyataan yang cukup bahaya kepada perpaduan kaum dan perlu di siasat. Apa yang PAS buat pada DAP sehingga dituduh kerjasama PAS-Umno membahayakan orang bukan Islam dan umpama Taliban? Cukuplah hendak tipu rakyat kerana rakyat majoritnya masih lagi berasa tertipu kerana banyak janji sudah U-turn. Jangan pandang rendah mentaliti dan kebijaksanaan rakyat.

Sebenarnya DAP hipokrit tetapi terpaksa menutup perangai mereka dengan menuduh PAS begitu. Apa yang DAP tidak pernah kata pada Tun Dr. Mahathir dan Mukhriz Mahathir dulu, begitu juga dengan pimpinan PAN. Apa yang pimpinan PKR tidak pernah kata pada Tun Dr Mahathir dulu, segala macam tuduhan dilempar termasuk menggelar Tun Dr. Mahathir. Sudah dituduh macam-macam sekarang kerjasama pula, itu tidak masuk lagi hendak siasat Tun Dr. Mahathir macam-macam. Itu nak panggil apa pulak?

Jika PAS rasis dan perkauman ataupun umpama Taliban, sudah tentu pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sudah lari dari PAS. Sudah tentu orang bukan Islam di Kelantan dan Terengganu juga sudah lari. PAS ucap terima kasih kepada Timbalan Presiden MIC Datuk M. Saravanan kerana sedar dan faham akan niat kerjasama PAS-Umno. PAS juga harap MCA juga begitu, usah takut dengan bayang DAP kerana mereka bukan mewakili kaum Cina.

Sebelum pimpinan DAP secara sembrono menuduh kerjasama PAS dan Umno bukan-bukan, cabaran PAS masih lagi belum terjawab. Hingga saat ini CEC DAP senyap sunyi, masih lagi tidak menyatakan sokongan penuh terhadap Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Jika Majlis Pimpinan PKR boleh buat, mengapa tidak DAP atau adakah DAP takut? Seeloknya MP Jelutong RSN Nayer ajak CEC DAP kesemuanya menyatakan sokongan secara terbuka kepada Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Jangan cakap saja berdegar-degar di Parlimen, sahut cabaran pun tidak berani.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 15/3/2019