22
Sun, Sep
28 Artikel Baru

Tahniah calon STPM, SPM 2018

Nasional
Typography

HARI ini 14 Mac 2019 merupakan hari keputusan SPM dikeluarkan. Beberapa hari lepas STPM telah diumumkan. Seramai 42,849 orang calon yang telah menduduki peperiksaan STPM 2018 manakala calon SPM pada tahun 2018 adalah seramai 421,706 orang.

Dewan Muslimat PAS Malaysia merakamkan jutaan tahniah buat semua calon yang telah berusaha sebaiknya di seluruh negara. Bersyukurlah dengan apa jua keputusan yang diperolehi. Kejayaan hari ini bukanlah kejayaan yang terakhir, namun jadikanlah ia sebagai batu lonjakan untuk terus mendaki ke puncak kejayaan yang lebih tinggi. Sentiasa peka dengan peluang dan ruang bagi mencapai cita-cita seterusnya kembali berbakti kepada negara dan agama.

Buat calon yang belum berpeluang memperoleh keputusan cemerlang, ketahuilah ini bukan pengakhirannya. Terus bangkit dan melangkah mencari peluang untuk terus maju di masa hadapan. Gilap potensi yang ada dalam diri dan terus majukan diri. Kejayaan anda dimasa hadapan bakal membantu perkembangan negara dan agama.

Ucapan tahniah juga selayaknya dirakamkan kepada tenaga pengajar serta ibu bapa di seluruh negara yang tanpa jemu terus mendidik dan membentuk generasi muda ini. Muslimat PAS amat berharap dengan usaha dari pelbagai pihak ini akan membantu membentuk generasi pelapis pemimpin masa hadapan.

Semoga kejayaan yang diperolehi hari ini bergerak seiring dengan akhlak dan adab mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah. Sesungguhnya adab dan akhlak adalah sangat penting dalam proses memanusiakan diri. Berkata Abu Zakariya Al-‘Anbari rahimahullah: “Ilmu tanpa adab bagaikan api tanpa kayu bakar dan adab tanpa ilmu bagaikan tubuh tanpa roh”.

Semoga anak-anak calon STPM dan SPM 2018 ini terus cemerlang lengkap ilmu dan adabnya. Memberi manfaat kepada masyarakat juga diri sendiri.
Sirru ‘ala barakatilah.

‘Islam Memimpin’
‘Muslimat Istiqamah Memacu Kemenangan’

YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
14 Mac 2019 / 7 Rejab 1440 – HARAKAHDAILY 14/3/2019