18
Thu, Jul
38 Artikel Baru

Pencemaran: Solat hajat seluruh negara

Nasional
Typography

KAMI berasa dukacita dengan perkembangan semasa yang berlaku di Pasir Gudang. Sehingga kini, jumlah mangsa telah meningkat kepada lebih 500 orang termasuk sembilan orang terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), serta 43 buah sekolah diarah tutup demi mengelakkan terdedah kepada pencemaran.

drrosniadamDewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang telah membuang bahan kimia ke dalam sungai hingga menyebabkan pencemaran gas metana ke persekitaran, seterusnya mengancam nyawa dan keselamatan penduduk setempat terutama pelajar-pelajar sekolah berhampiran.

Kepada ibu bapa, penjaga yang terlibat dengan kes ini, kami mendoakan agar semua jangan panik, tenang dan tabah untuk menghadapi musibah ini dan lebih berhati-hati serta mengambil langkah berjaga-jaga dalam setiap tindakan agar tidak terhidu metana yang boleh mengancam nyawa.

Kami juga ingin mengajak semua rakyat Malaysia untuk mengadakan solat hajat dan berdoa agar bencana dan musibah yang melanda Pasir Gudang ini dalam keadaan terkawal dan dapat diselesaikan dengan sebaiknya oleh pihak berkuasa.

Di kesempatan ini juga, pihak kami amat berbesar hati mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada staf dan petugas yang menjalankan tanggungjawab sebaiknya, baik di hospital, klinik kesihatan dan mana-mana premis yang bertungkus-lumus memastikan pesakit dirawat dengan baik. Tidak dilupakan kepada semua petugas dari PAS dan NGO yang turut turun menghulurkan bantuan kepada mangsa.

DR ROSNI ADAM
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
13 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 13/3/2019