19
Wed, Jun
26 Artikel Baru

Ustaz Tholiban: Arca yang berdiri

Nasional
Typography

BAHASA Urdu, adalah bahasa yang indah, dipertuturkan oleh ratusan juta penduduk dunia termasuk dalam industri perfileman di Bollywood. Rakyat Malaysia cukup intim dengan lenggok bahasa ini walaupun sepatah haram mereka tidak faham, keasyikan nyanyian Hindi daripada filem-filem Hindustan sudah melingkari sebahagian kehidupan rakyat negara ini. Mendengar pidato politik agama daripada Sheikh Qadi Hussain menyebabkan kita teruja, walau tanpa memahami sepatah pun butiran ceramah kecuali ayat-ayat suci Al-Quran. Itulah kehebatan pukulan Bahasa Urdu, bahasa orang hidung tinggi, kata seorang teman saya.

Misi kemanusiaan ini adalah tidak lengkap tanpa penterjemah, sosok ini dipilih kerana kebolehannya dalam bahasa Urdu dan penjiwaan mereka terhadap budaya Pakistan. Ustaz Norazli Musa yang lebih mesra alam digelar Ustaz ‘Tholiban’ di Malaysia, bekas Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah Perak ini dijolok demikian mungkin kerana janggutnya yang panjang, tanpa kompromi itulah imejnya berpuluh tahun. Bapa kepada lima orang anak ini dilahirkan di Tapah, Perak. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Tapah, bekas penjaga gawang gol tersohor dalam sukan bola sepak dan hoki di sekolahnya. Selepas keputusan SPM, melanjutkan pelajaran di Maahad Ihya’ As-Sharif, Gunung Semanggol dan seterusnya mendapat pendidikan tinggi di Jamiah Abu Bakar, Karachi, Pakistan.

Selama empat tahun di Karachi, pergaulannya dengan masyarakat tempatan membantu beliau memahami serta bertutur dalam Bahasa Urdu. “Ana belajar di kampus dengan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar, Urdu belajar sendiri, Bahasa Inggeris ana gi ambil masa cuti,” kata Tholiban menjawab persoalan tentang beliau dan Bahasa Urdu. Balik Malaysia, pantang jumpa warga Pakistan, beliau akan cuba bercakap supaya Urdunya tidak lekang dari lidah. “Ana tengok Hindustan, bukan nak tengok kisah cinta dia tapi nak memastikan ana tak lupa Urdu,” katanya, mempertahan kewajaran budak-budak ex-Indo-Pakistan menonton filem Hindustan. “Yeelah tu,” jawabku yang hanya memahami ‘garampani’ iaitu air suam dalam Bahasa Melayu.

Kebolehan menguasai Bahasa Urdu menyebabkan Norazli menangis di tengah malam yang sepi di perkhemahan Hassa di Balakot, suara anak-anak kecil yang merintih dan menangis kelaparan dan kesejukan meruntun hati kecilnya. Malam yang panjang tanpa pemanas dan makanan yang cukup adalah suatu yang menyiksakan bagi mangsa, terutama bagi anak-anak kecil yang belum mengerti erti malapetaka dan ujian hidup. Wajah pucat dan baju kumuh mereka adalah saksi penderitaan. Tholiban cukup tersiksa dengan apa yang didengar dan ditanggung oleh mangsa-mangsa. Beliau bertungkus lumus mencari dana bagi meringankan beban mangsa, meninggalkan keluarga dan mata pencarian berminggu-minggu untuk berada di kem bersama mangsa gempa. Sentiasa bangkit malam untuk bertahajud dan bermunajat walaupun khemah ditimpa salji dan di khemah masjid beliau dilantik sebagai imam solat oleh pihak hospital.

Kebolehan menghafal Al-Quran menjadi nilai tambah kepada beliau kerana orang Pakistan sangat menghormati pembaca dan penghafal Al-Quran, sebab itulah dalam majlis-majlis rasmi di khemah pelarian dan hospital sementara, beliau secara automatik menjadi qari sebelum majlis dimulakan. Dirinya sudah selari dengan budaya Pakistan, bercakap Urdu dengan kepala menggeleng-geleng sebagaimana mat-mat Pakistan yang lain, mampu menyesuaikan perutnya dengan juadah Pakistan tanpa perlu kerap berulang alik ke tandas seperti aku dan Kamal Shaari. Itulah penterjemah kami yang telah tiga kali menyertai misi ke Pakistan, “Zindabad Norazli”.

Memang hari-hari akhir ialah hari yang menyentuh perasaan kami, Dr. Izzatullah (ketua Hospital PIMA) tersedu menangis dalam ucapan terakhirnya. Kegembiraan dan kesedihan Pakistan yang turut dikongsi oleh saudara-saudara seaqidah dari Malaysia. Aku sentiasa memicit SMS pada rakan-rakan supaya menyegerakan usaha menari bahagian-bahagian korban, Haji Rippin Petronas, Haji Zulkifli Wahijan dan lain-lain sahabat pula memanjangkan mesej pada ponsel teman-teman yang lain. Aku dan Norazli memaut janji dengan Dr. Izzat untuk datang beraya di Balakot (akhirnya kami beraya di Kashmir kerana difahamkan di Balakot sudah disediakan 70 ekor lembu korban - yang sebenarnya hanya seekor).

Dalam perjalanan balik melalui jalan darat Balakot ke Rawalpindi kami bertukar dua kali van kerana menghadapi masalah. Pandangan kami mendakap sayu pada jajaran gunung dan bukit di Balakot dan Manserah yang indah dibungkus awan, memerhati ke arah ribuan khemah mangsa dengan ribuan tandatanya yang menyerbu “sampai bila mereka akan berkhemah”? “Bagaimana dengan musim sejuk bersalji yang akan semakin membeku di bulan Februari dan Mac”? “Bagaimana nasib mereka anak-anak gelandangan ini, jika anggota misi antarabangsa berundur pulang”? Tiada siapa yang memberi jawapan melainkan masa yang akan menentukan.

Kepala disinggah rasa kepeningan kerana pemandu yang merokok, aduh! Mamat Pakistan ni, nak dilarang merokok sang pemandu mengadu mengantuk, kami menekap hidung dengan kain, Niza (jurutera, anggota misi), terbaring pada riba Kak Minah kepeningan, Abang Andy (anggota misi dari Sarawak) sentiasa tekun membilang hari pulang dan cita-citanya ingin ke misi bantuan Cambodia, Prof. Dr. Hashami di kerusi paling belakang sentiasa diam berfikir, Kursyi (wartawan akhbar SIASAH) leka memerhati sekeliling mencari bahan berita, Ustaz Azli bercerita dan mengusik manakala Shophia tukang ketawa. Semua anggota misi dengan kenangan kolektif yang cukup sukar dipadam, tiada yang serik kerana tekad telah dipasang selagi hidup kebaktian akan terus dicurah untuk kemanusiaan, hanya yang bergelumang dengan kerja-kerja misi yang mampu menjiwai kemanisan kerja ini.

Catatan di atas adalah kenanganku di Pakistan bersama almarhum pada tahun 2005, membantu mangsa gempa bumi di Balakot, Manseerah, Abootabad dan juga di Kashmir. Ustaz Tholiban juga mengambil risiko memasuki bumi Syria saat perang berkecamuk untuk menghantar bantuan makanan dan ambulans, beliau hampir terbunuh namun demi saudara-saudara akidah maka beliau melakukannya dengan harapan peluang mati di jalan Allah. Pengalaman paling sadis dan aku tak akan lupakan ialah ketaatan beliau pada arahan untuk membantu mangsa kezaliman junta tentera Myanmar. Muslim Rohingya mati dibunuh, dirogol dan diusir dari tanah Arakan dan ini sangat mengganggu nurani Nor Azli. Aku mencadangkan agar beliau menukar imej 100 peratus untuk memasuki kawasan konflik di Myanmar dan beliau akur.

Ustaz Tholiban sanggup menjadi "gila-gila" demi ummah, demi Islam maka beliau akan berbuat apa sahaja. Sosok pemberani itu akhirnya melepasi medan pembantaian ummah, kawasan zon perang bahkan menghantar sekeping gambar lewat aplikasi WhatsApp. Aku terpanar! Gila ahh! Dia berlagak dengan perawakan bohemian style. Memakai cap ranggi, janggutnya dipintal dreadlock bak rambut lagenda Bob Marley, serta memakai seutas rantai leher. "Anta jangan sebar gambar ni! Ini kita jer... mati ana kalau gambar ni tersebar," beliau memesan lucu namun tegas agar aku tak menyebarkan "keaiban" beliau semata-mata untuk menyampaikan bantuan kepada Muslim Rohingya di kawasan bergolak Myanmar. Aku menggelinjang ketawa keseorangan namun disentap rasa insaf, bahawa aku mempunyai seorang sahabat dunia dan akhirat yang akan melakukan apa sahaja untuk memasuki medan berapi peperangan demi membantu ummah!

Bayangkan jika tentera Myanmar menangkap beliau, maka nasibnya mati tak bernisan, tapi itulah jiwa lelaki sangkuriang perkasa. Episod kehidupan temanku ini berhujung dalam usia 52 tahun di bumi barokah, tanah air Rasul SAW yang mulia. Tanah air kita gempar dan menangisi pemergiaan pendakwah dan pejuang yang hebat ini. Aku menerima foto-foto peribadi daripada anakanda Ustaz Tholiban, Syakir Norazli daripada Madinah. Enam keping gambar eksklusif hanya untuk tatapanku sahaja dan Syakir mohon agar tak disebarkan pada khalayak awam.

Jenazahmu sahabatku dengan kucuran peluh dan airmata bergenang, tenang dan nyaman meninggalkan dunia yang memenatkan ini. Berbahagialan sahabatku, engkau begitu penat berjuang dan berdakwah, daripada zaman belajar, zaman muda yang rebel sehinggalah jasadmu mula diterjang penyakit jantung. Kini masa untukmu berehat dan menuai hasil kerja amalmu di dunia...sakinah!

Anakanda Syakir Norazli juga mengirimkan gambar-gambar dan video pemakaman, aku terpanar! Manusia tak mengenal bangsa semua ingin berbakti buatmu untuk kali terakhir, kerana apa? Kerana hidupmu tak lelah berbakti kepada segenap bangsa, Gaza, Syria, Lubnan, Kashmir, Rohingya, Indonesia, Cambodia, Vietnam, Pakistan dan pelbagai belahan dunia. Airmatamu selalu tumpah di waktu malam sunyi, esak tangismu perlahan dalam untaian doa untuk menjadi syuhada, aku adalah saksi kerana menjadi teman pemusafiranmu dalam tempoh yang panjang di zaman muda. Intai- intai aku juga di negeri akhirat nanti sahabat sebagaimana lafaz janji kita... namamu kekal kupahat di tembok hati ini sahabatku! - HARAKAHDAILY 13/3/2019