PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mendapati serangan bertali arus pemimpin utama DAP dan PAN akhir-akhir ini adalah untuk menutup kelemahan mereka dalam kerajaan.

Walaupun PAS tidak bertanding dalam PRK Semenyih tetapi serangan dari mereka terhadap PAS seolah-olah seperti mereka dalam keadaan yang paranoid.

nasrudintaRakyat melihat kerjasama dalam kalangan PH sudah renggang. Hanya PPBM dilihat menunjukkan komitmen dalam PRK Semenyih, sebaliknya parti-parti lain seolah-olah tidak ambil peduli.

Kekalahan PH dalam PRK Cameron Highlands tempoh hari adalah bibit perpecahan dalam PH.

Oleh sebab itu, seorang AJK DAP Johor lantang mengkritik dan mendesak YAB PM meletakkan jawatan beberapa hari lalu.

Mereka menganggap hanya Tun Dr Mahathir adalah liabiliti semasa PH dan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan. Maka, PRK Semenyih adalah ‘referendum’ PH terhadap Tun Dr Mahathir.

PAS yang telah menghidu percaturan politik komponen PH telah berjumpa dengan YAB Perdana Menteri baru-baru ini.

PAS telah menyatakan sokongan dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam dan Melayu serta mahu beliau meneruskan kepimpinan sehingga akhir penggal.

Sekiranya berlaku pertukaran jawatan PM disebabkan pergolakan dalaman PH, PAS bimbang kepentingan rakyat akan diperjudikan.

Setakat ini banyak pendirian PM selari dengan tuntutan PAS antaranya seperti isu ICERD, LGBT, Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, Israel dan umat Islam di Myanmar.

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
16 Jamadil Akhir 1440 | 21 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 21/2/2019

SEBENARNYA bukan baru sehari dua ini didedahkan berkenaan usaha bagi menjatuhkan Tun Mahathir Mohamad (Tun M) sebagai Perdana Menteri (PM).

Seawal suku keempat tahun lalu, sudah pun ada pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri bercakap secara terbuka mengenainya. Mungkin, bertujuan meredakan sedikit gerakan sumbang itu.

Malangnya, ia makin kuat. Cubaan menggulingkan Tun M dibuat beberapa kali dan menerusi pelbagai kaedah. Mujur, ia gagal.

Dalam tempoh itu sehingga sekarang, tidak hairan jika pendirian beberapa pemimpin utama parti-parti PH dalam banyak isu selalu berbeza dengan pandangan Tun M. Lihat sahaja dalam isu ICERD, UEC dan pilihan raya PBT.

Sebelum isu-isu ini, Tun M juga tidak ada banyak pilihan selain bersetuju dengan pelantikan kontroversi yang dibuat bagi jawatan-jawatan utama dalam sistem keadilan dan badan kehakiman negara juga sebenarnya akibat daripada tekanan 'kawan-kawan' beliau dalam PH. Tambah lagi, pada masa itu kerajaan baru dibentuk dan Tun M tahu beliau perlu mengumpulkan lebih sokongan.

Mengapa ada parti dan pemimpin dalam PH mahu Tun M berundur sekurang-kurangnya ada dua sebab; (i) kerana dari awal menganggap dan menjadikan Tun M semata-mata sebagai alat untuk meraih kemenangan buat PH sebelum Anwar Ibrahim (Anwar) mengambil alih jawatan itu, dan (ii) kerana Tun M masih mempunyai orientasi politik yang beraspirasikan Melayu dan Islam walaupun mungkin tidak sekuat Umno atau PAS, namun yang sedikit itu pun amat tidak disukai oleh DAP yang berideologikan sosialisme.

Menariknya tentang pendedahan sehari dua ini ialah ia semakin berani dan berterus terang. Umum sudah mengetahui bahawa dalang di sebalik gerakan menjatuhkan Tun M sebagai PM ini ialah Anwar dan Guan Eng yang mengetuai DAP sendiri.

Sebab itulah, individu yang paling awal melenting dengan pendedahan PAS baru-baru ini susulan pertemuan Presiden PAS dengan Tun M adalah mereka berdua ini. Sedangkan Setiausaha Agung PAS tidak pun menyebut nama parti dan pemimpin tertentu.

Tetapi, Anwar segera menempisnya dengan menuduh bahawa ia adalah helah PAS untuk mengalih isu RM90 juta. Guan Eng pula cepat-cepat mengelak dengan mengatakan bahawa ia adalah pembohongan daripada PAS dan menuntut PAS mengemukakan bukti.

Sikap mereka berdua ini juga sekali gus memperlihatkan bahawa sokongan PAS kepada Tun M adalah ancaman besar buat mereka kerana sokongan PAS kepada Tun M jika berlaku undi tidak percaya pasti menggagalkan usaha mereka selama ini.

Akibat terlalu melenting, mereka berdua sebenarnya tersilap langkah kerana menyerang PAS semula. Sepatutnya, mereka berdua mesti buktikan bahawa mereka setia kepada Tun M selaku PM kerana itu sahaja sebenar-benar penafian terhadap pendedahan mengenai usaha menggulingkan Tun M ini.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
21 Februari 2019 | 16 Jamadilakhir 1440 – HARAKAHDAILY 21/2/2019

SEPERTI diketahui, ramai sekali pemimpin Bersatu yang menunjukkan kemarahan mereka ke atas kenyataan Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau, yang mendesak supaya Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Agak terkehadapan dalam menyuarakan kemarahan mereka adalah Ahli-ahli Jawatankuasa Armada Bersatu Malaysia, iaitu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir dan Mohd Fahim Mohd Farid, serta Ketua Armada Bersatu Terengganu, Mohd Syaiful Irfan Anang.

Mewakili Armada Bersatu Malaysia adalah Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin, yang menyatakan tuntutan dari Armada Bersatu Malaysia supaya Dr Boo Cheng Hau meminta maaf kepada Tun Dr Mahathir di atas kenyataan beliau itu.

Mewakili Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pula adalah Dr Muhammad Faiz Na'aman yang menuntut Dr Boo Cheng Hau meminta maaf secara terbuka terhadap Tun Dr Mahathir dan menarik balik kecaman beliau terhadap Tun Dr Mahathir tersebut.

Permintaan ini diikuti oleh tiga permintaan pemimpin Bersatu yang lebih senior, iaitu Wan Saiful Wan Jan dan Abu Bakar Yahya selaku Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu serta Tan Sri Dr Rais Yatim selaku Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan.

Permintaan Tan Sri Dr Rais Yatim adalah lebih khusus kepada pemimpin tertinggi DAP, iaitu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, supaya mereka “‘cilikan’ mulut si celupar ini”, yang merujuk kepada tindakan ke atas Dr Boo Cheng Hau.

Permintaan Wan Saiful Wan Jan pula adalah berupa pilihan sama ada supaya Dr Boo Cheng Hau “letak jawatan dalam DAP” atau supaya “partinya sendiri (DAP) buang beliau kerana nyata beliau hanya tahu mengeruhkan keadaan dan bukannya membantu”.

Satu lagi permintaan, yang perlu dipandang lebih serius oleh DAP kerana datang daripada Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir, iaitu Abu Bakar Yahya, adalah supaya pemimpin DAP “memberikan teguran serta peringatan tegas terhadap Dr Boo Cheng Hau”.

Malangnya, sehingga kini tiada seorang pun pemimpin tertinggi DAP yang memberikan maklum balas kepada permintaan pemimpin Bersatu ini, sama ada memberikan teguran serta peringatan tegas atau mengarahkan Dr Boo Cheng Hau meminta maaf.

Malah, sehingga kini kenyataan Dr Boo Cheng Hau, yang menuntut perletakan jawatan pemimpin Pakatan Harapan yang mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan janji-janji pilihan rayanya dan yang mendakwa pemimpin tertinggi Bersatu telah selalu sangat melanggari janji, masih lagi terpampang megah dalam laman web rasmi DAP.

Susah sangatkah untuk pemimpin tertinggi DAP memberikan teguran serta peringatan tegas kepada Dr Boo Cheng Hau atau mengarahkan Dr Boo Cheng Hau meminta maaf seperti yang diminta, kalaupun tidak mengambil tindakan yang lebih keras kepada beliau?

Pastinya kesenyapan pemimpin tertinggi DAP ini akan mengundang spekulasi. - HARAKAHDAILY 21/2/2019

POLEMIK berkaitan aktiviti perlombongan bauksit di Pahang yang bakal disambung semula akhir Mac akan datang memperlihatkan kecamuk cukup teruk dalam Kabinet Kerajaan PH pada hari ini. Rakyat khasnya di Kuantan menjadi mangsa kepada drama dan wayang oleh beberapa Menteri yang bertanggungjawab dalam isu berkenaan. Sudah pasti telah terbayang di minda penduduk setempat akan debu merah berterbangan yang bakal menghantui semula kehidupan mereka.

Paling menjadi persoalan adalah di mana peranan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam isu ini? YB Yeo Bee Yin dari DAP seharusnya menjadi penyelesai segera kepada permasalahan yang bakal wujud semula apabila moratorium dimulakan pada 15 Januari 2016 oleh bekas Menteri Alam Sekitar, Dato' Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bakal ditamatkan.

Kenapa langkah moratorium yang diumum dan dikuatkuasakan oleh Kementerian berkaitan alam sekitar dahulu, pada akhirnya diberi ‘ruang kuasa’ kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YB Dr Xavier Jayakumar untuk menamatkannya? Apa Menteri DAP buat dan kenapa menyerahkan tugas yang sepatutnya dibuat oleh Kementerian mereka kepada pihak lain?

Bahkan tindakan Menteri PKR itu mendapat kecaman dan teguran oleh Ahli Parlimen Kuantan yang juga adalah Naib Presiden PKR iaitu YB Dr Fuziah Salleh. Kenapa terlalu haru biru pengurusan isu ini walaupun Xavier dan Fuziah datang dari parti yang sama? Lebih teruk lagi Fuziah sendiri adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Adakah Xavier bertindak tanpa pengetahuan Kabinet?

Fuziah Salleh dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya pada 29 Oktober 2015 mengajak rakyat supaya membantah aktiviti lombong bauksit yang beliau percayai telah mencemarkan udara Kuantan dalam proses pengangkutan tanah berwarna merah ini dari lombong ke pelabuhan. Disebut juga olehnya akan bahaya bahan Thorium yang merupakan Narutally Occurring Radioactive Material (NORM) yang bersekali wujud dengan tanah bauksit. Ini semua boleh menjadi penyebab kepada kanser.

Kerisauan lain YB Fuziah Salleh adalah berkaitan pencemaran Sungai Kuantan yang menjadi sumber air minuman penduduk Parlimen ini apabila didakwanya logam berat seperti plumbum mengalir masuk mencemari sistem perairan tempatan. Namun ini semua hanyalah satu catatan sejarah sewaktu Fuziah beraksi hanya sebagai seorang Ahli Parlimen dari pembangkang. Namun kini sebagai Timbalan Menteri yang juga mewakili kepentingan serta kebajikan penduduk Kuantan, Fuziah harus berfikir dan bertindak sebagai kerajaan. Langkah sumbang YB Menteri Xavier dan kebisuan YB Menteri Yeo harus dihentikan.

Lajnah Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LAS DPPM) cukup kecewa dengan pengumuman Dr Xavier Jayakumar kelmarin berkaitan tempoh moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari Pahang yang akan berakhir 31 Mac depan tidak akan dilanjutkan.

Hujah Xavier terlalu dangkal dengan menggunakan alasan keuntungan semata-mata. Beliau menyebut pada tahun 2015 sahaja, Kerajaan Negeri direkodkan menerima RM47 juta hasil pembayaran royalti perlombongan bauksit. Hal ini cukup berlainan dengan kerajaan terdahulu yang memulakan moratorium pada awal 2016 walaupun jumlah untung RM47 juta itu telah dicatatkan. Di sini jelas dilihat Kerajaan PH seakan-akan tunduk kepada pelombong dan pemain industri bauksit tanpa memikirkan nasib rakyat terbanyak.

LAS DPPM menggesa agar tempoh moratorium disambung kembali selepas 31 Mac nanti sehingga Menteri DAP menjalankan tugasnya yang sebenar dengan menyediakan pemakluman awam mengenai prosedur operasi standard (SOP) serta laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang lengkap berkaitan perlombongan bauksit ini. Dan sekiranya rakyat menolak serta membantah aktiviti perlombongan ini, maka lebih baik kerajaan meneruskan langkah moratorium ini sehingga satu kaedah dan teknologi yang selamat diwujudkan untuk menjana ekonomi negara melalui perlombongan bauksit.

Menteri DAP harus turun ke lapangan bagi melihat isu ini dengan dekat. Berdasarkan laporan akhbar tempatan sejak 5 Julai 2018 iaitu 3 hari selepas YB Yeo mengangkat sumpah sebagai Menteri telah ada banyak desakan supaya beliau turun ke Kuantan bagi menyelesaikan isu perlombongan ini. Kerana ia turut berkait dengan nasib para peneroka Felda yang tanah mereka dilombong sehingga sudah tidak boleh ditanam sawit lagi. Mereka mendakwa ditipu oleh pengusaha lombong sejak sekian lama.

Oleh:
NAZMAN CHE IBERAHIM
Pengerusi
Lajnah Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia

21 Februari 2019 | 15 Jamadilakhir 1440 - HARAKAHDAILY 21/2/2019

PAS suka menegaskan sebarang bentuk sokongan kepada kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia dibuat tanpa sebarang muslihat, sebaliknya demi kepentingan negara dan rakyatnya.

Dari awal lagi PAS amat konsisten dengan sikap bahawa berdasarkan geopilitik negara ini, mana-mana Kerajaan yang menerima mandat rakyat melalui proses Pilihan Raya Umum wajib meletakkan kepentingan Islam dan Melayu sebagai teras utama pembuatan dan perlaksanaan dasarnya dan pada masa yang sama kepentingan semua kaum dan agama lain perlu dijamin sepenuhnya. Ini adalah berdasarkan realiti masyarakat majmuk kita dan harus dilaksanakan berteraskan keadilan sejagat dan kontrak sosial yang diterima pakai sejak negara mencapai kemerdekaan.

Sokongan kepada kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad juga tidak ada kena mengena dengan dakwaan sesetengah pihak kononnya bagi ‘menyelamatkan’ PAS daripada siasatan isu RM90 juta. Ini kerana PAS telah memberikan sepenuh kerjasama kepada SPRM untuk membuat siasatan terperinci, termasuk mengarahkan beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan tohmahan ini memberikan kenyataan masing-masing.

Dalam hal ini PAS yakin SPRM akan membuat dapatan (finding) mereka dalam kadar yang segera hasil siasatan yang telus, profesional dan adil.

Dalam isu desas-desus kononnya ada pihak yang cuba mengganggu gugat kedudukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, PAS mengulangi pendirian bahawa perkembangan yang berlaku dalam kalangan pimpinan PH mutakhir ini berhubung isu terbabit, sama ada berbentuk kenyataan atau perbuatan, termasuk luahan hati Tun Mahathir sendiri, emberikan gambaran kepada umum bahawa wujudnya semacam pertembungan keras atau ‘clash of the Titans’ dalam kalangan pimpinan PH terhadap kepimpinan Tun Dr. Mahathir.

Di samping itu wujud juga unsur ketidapatuhan atau ‘insubordination’ yang jelas terhadap polisi dan arahan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Justeru PAS tidak boleh dipersalahkan berikutan tanggapan mengenai perkara itu, malah menggesa pimpinan utama parti-parti PH sendiri memberi pencerahan berhubung insiden dan desas-desus tentangnya yang menjadi punca kekeliruan dan tanggapan sedemikian yang menjadi rahsia umum kini.

Akhirnya PAS menegaskan segala sokongan yang diberikan kepada mana-mana pihak, termasuk kepada Kerajaan dan secara lebih khusus kepada Perdana Menteri adalah atas dasar melaksanakan tuntutan Islam ‘amar makruf nahi mungkar’ selain berperanan sebagai semak dan imbang (check and balance) yang menjadi elemen utama amalan demokrasi yang sihat.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
21 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 21/2/2019

TELUK INTAN: Sokongan PAS kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan suatu perkara besar demi mengukuhkan agenda orang Melayu dan agama Islam di negara ini.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman berkata, PAS yang menyertai politik sentiasa meletakkan kepentingan Islam dan orang Melayu supaya terus terjamin.

Katanya, dengan sebab itu Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengorak langkah ke hadapan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri pada minggu lalu.

''Pertemuan dengan Perdana Menteri bukan perkara kecil pada pandangan parti," jelasnya ketika sesi soal jawab majlis Liqa' Fiqri bulanan PAS Kawasan Teluk Intan di Dewan KOMPASTI, di sini malam tadi.

Menurutnya, PAS menyatakan kesediaan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir sehingga PRU15 dan tiada kaitan dengan PRK Semenyih yang sebelum ini menjadi polemik kerana salah tafsir PM mengenai sokongan PAS.

Bagaimanapun Tuan Guru jelas Syahir, agak gembira kerana Tun Dr Mahathir telah membuat kenyataan seterusnya yang mengulas kerjasama PAS dalam PRK Semenyih dan Cameron Highland berbeza kerana tidak ditandingi calon dari DAP.

Kenyataan itu terang beliau, selaras dengan pendirian PAS menerusi contoh surat perakuan kepada PM, sekali gus isu tersebut reda dan PAS mudah menangkis salah tafsir dan tohmahan berhubung sokongan itu. - HARAKAHDAILY 21/2/2019

ISU penghinaan terhadap Nabi S.A.W yang tular di media sosial baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku. Ia menunjukkan keadaan interaksi antara agama di negara kita masih tidak stabil walaupun sudah lebih 60 tahun mencapai kemerdekaan.

Penghinaan terhadap kepercayaan mana-mana agama bukan sahaja dilarang di dalam Islam (Al-Anaam:108), malah saya percaya tiada agama yang mengajak penganutnya menghina kepercayaan agama lain.

Daripada mengkritik, ada baiknya untuk kita mencari solusi daripada fenomena yang tidak sihat ini. PAS menganjurkan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Kriteria ketiga BPMS adalah politik solusi, bukan sekadar mencari kesalahan pesaing politik sebaliknya menawarkan penyelesaian terhadap kesalahan tersebut.

Dalam menjadikan negara ini sejahtera dari sudut sosialnya selain kemajuan dari berbagai segi, PAS memperkenalkan gagasan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051). Salah satu antara 10 prinsip yang menjadi tunjang WINS2051 adalah  "Kehidupan beragama sebagai asas kestabilan dan keharmonian antara kaum".

Prinsip WINS2051 ini selaras dengan Rukun Negara Pertama; Kepercayaan Kepada Tuhan. Prinsip ini secara ringkasnya mengajak rakyat Malaysia untuk hidup berteraskan pegangan terhadap agama yang tinggi. Bukan bermaksud semua perlu berpegang kepada Islam kerana Islam tidak boleh memaksa orang menganut Islam (al-Baqarah: 257), tetapi ia lebih bermaksud supaya setiap orang kembali kepada ajaran agama masing-masing (al-Kafirun: 6).

Tujuannya adalah kerana PAS percaya bahawa kepercayaan beragama dan bertuhan boleh membentuk peribadi seseorang lebih bermoral. Ini kerana masing-masing percaya bahawa ada tuhan yang mengawasi setiap tingkah laku dan akan memberikan ganjaran jika berbuat baik dan hukuman jika berbuat kejahatan.

Punca masalah moral masyarakat moden hari ini adalah kerana ramai yang sudah tidak berpegang kepada ajaran agama masing-masing. Baik Islam, Kristian, Buddha mahupun Hindu, masing-masing tidak menghayati ajaran daripada sama ada al-Quran, Bible, Veda atau mana-mana kitab kepercayaan. Agama hanya menjadi tulisan pada kad pengenalan, tetapi tidak pada jati diri. Kebanyakannya berpegang kepada ideologi Free-Thinker, Sekularisme dan Atheisme.

Dari sudut dakwah, ajakan kepada kembali kepada ajaran agama masing-masing ini adalah selaras dengan anjuran al-Quran (Ali-Imran: 64). Apabila semua pihak kembali kepada agama yang dipilih, mereka perlulah benar-benar memahami agama yang mereka anuti. Mereka mengkaji dan mendalami konsep agama masing-masing. 

Apabila dilihat terdapat kekeliruan, mereka boleh untuk merungkai kekusutan dengan merujuk kepada agamawan masing-masing. Sekiranya tidak selesai, agamawan boleh berdialog secara harmoni dalam erti mencari kebenaran. 

Sebagai orang Islam, kita perlu yakin bahawa Islam adalah agama yang benar. Justeru kita tidak perlu bimbang dengan dialog antara agama kerana Islam adalah agama yang berdiri di atas hujah. Tetapi garis panduan penganjurannya haruslah jelas supaya tidak membawa kepada pluralisasi agama yang ditentang oleh semua agama.

Di samping itu, kita boleh menjadikan dialog sebagai pentas dakwah supaya orang lebih memahami Islam dengan fikiran yang terbuka (ar-Room: 69). Ia lebih baik daripada kita mengeksklusifkan Islam sehingga orang bukan Islam memahami Islam daripada sumber yang salah. Dan itulah yang mungkin menjadi sebab wujudnya penghinaan terhadap ajaran agama ini.

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
16 Jumadal Ukhra 1440
20 Februari 2019 - HARAKAHDAILY 20/2/2019

 

 

More Articles ...