17
Wed, Jul
47 Artikel Baru

BUKIT MERTAJAM: Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Mertajam, Norazman Ishak menyifatkan hubungan terjalin antara PAS dan Umno kini semakin menggerunkan PH.

"Kita boleh lihat, 'pihak di sana' semakin 'tak senang duduk' dengan perkembangan terbaru hubungan PAS dan Umno ini. Insya-Allah PRU15 nanti kemenangan akan terhasil dari penyatuan ummah yang dinamik dan jitu ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas hadir memenuhi jemputan ke Persidangan Agung Umno Bahagian Bukit Mertajam yang dilangsungkan di Hotel Ixora Perai, di sini kelmarin.

Mutakhir ini menyaksikan beberapa pimpinan PH menyeru PAS dan Umno untuk menyertai pakatan itu kononnya atas nama penyatuan dan demi kepentingan Melayu.

Selain Norazman, turut sama hadir dengan penampilan baju Melayu serba hijau adalah Timbalan dan Naib Yang DiPertua PAS Bukit Mertajam, Hussain Sazlan dan Adnan Yusof.

Norazman turut melihat bahawa ta'awun siyasi kedua pihak yang memacu kebangkitan ummah turut memberi semangat baru kepada Umno selepas kekalahan PRU14.

Persidangan dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato' Tajuddin Abdul Rahman itu turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff.

Pimpinan PAS hadir selaku tetamu disebalik 246 perwakilan dari 36 Cawangan Umno yang tampil seragam merah itu dan disambut Ketua Umno Bukit Mertajam, Dato' Musa Sheikh Fadzir. - HARAKAHDAILY 16/7/2019

KERAJAAN Negeri Terengganu komited untuk melaksana Kad Sejahtera seperti yang dijanji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas.

Program Kad Sejahtera merupakan satu program ‘Bantuan Subsidi Rawatan Kesihatan Asas’ yang mensasarkan 20,000 penerima daripada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan peruntukan sebanyak RM10.9 juta pada tahun 2019 sebagai permulaan.
 
Asas pertimbangan utama kerajaan negeri merealisasikan program ini adalah berdasarkan keperluan kebajikan dari aspek kesihatan yang merupakan salah satu tanggungjawab kerajaan bagi memastikan rakyat hidup sihat dan sejahtera.

Maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menunjukkan 90 peratus rakyat Terengganu menggunakan perkhidmatan rawatan serta memperolehi ubat-ubatan dari klinik dan hospital milik kerajaan.

JKNT merekodkan jumlah kehadiran pesakit di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negeri seramai 1,121,917 orang pada tahun 2013, 1,246,557 orang pada tahun 2014, 1,326,163 orang pada tahun 2015, 1,451,167 orang  pada tahun 2016, 1,457,682 orang pada tahun 2017 dan 1,461,879 orang  pada tahun 2018.

Program ini bersifat penyelesaian jangka masa pendek supaya dapat memberi kemudahan kepada rakyat Terengganu bagi mendapatkan rawatan kesihatan seoptimum mungkin. Ia sekali gus dapat memperkasa golongan sasar secara berperingkat seterusnya mampu membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Program ini akan bermula selewatnya pada bulan Ogos 2019 dan para pemegang Kad Sejahtera layak untuk mendapatkan rawatan kesihatan berjumlah maksimum sehingga RM500 setahun di klinik swasta terpilih yang dilantik oleh kerajaan.

Para peserta akan menerima kad ini melalui pejabat Dun masing-masing dan perlu dikemukakan sewaktu mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih dengan kos maksimum RM70 setiap rawatan.

“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu
16 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 16/7/2019

PAS tidak akan bersama Pakatan Harapan, sebaliknya bersama Gagasan Sejahtera akan terus berta’awun dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan Kerajaan, sama ada sebelum PRU15 dan semestinya selepas PRU15.

PAS pada masa ini akan memberikan fokus dan tumpuan sepenuhnya dalam menjayakan Agenda Perpaduan Ummah bersama Umno di samping tidak meninggalkan parti-parti BN lain serta rakan-rakan BN yang mewakili pelbagai kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak.

PAS yakin Muafakat Nasional yang diterajui oleh Umno dan PAS serta disokong oleh parti-parti lain kini merupakan pilihan terbaik untuk rakyat ke arah negara Malaysia yang lebih sejahtera, aman dan makmur.

Sokongan padu rakyat pelbagai kaum dan momentum politik yang menyebelahi parti-parti Blok Pembangkang di masa ini membayangkan hasrat rakyat Malaysia yang inginkan suatu perubahan pada negara dalam waktu paling dekat.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 16 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 16/7/2019

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia memandang serius kenyataan YB Menteri Kewangan yang menuduh bahawa bayaran balik GST “dirompak” oleh kerajaan terdahulu. Sebaliknya, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) menyangkal tuduhan tersebut dan menunjukkan bahawa tiada kehilangan wang atau wang dirompak seperti didakwa YB Menteri.
 
Tuduhan liar sebegini tidak seharusnya dilakukan oleh seorang Menteri Kanan kerajaan, lebih-lebih lagi memegang portfolio Menteri Kewangan. Kenyataan yang tidak benar daripada Menteri Kewangan memberikan implikasi langsung terhadap ekonomi negara dan pelaburan asing ke dalam negara.

Bagaimanakah pelabur asing akan yakin dengan ekonomi Malaysia jika Menteri Kewangan berkelakuan seperti kebudak-budakan dengan menyebarkan tuduhan-tuduhan liar sehingga orang luar tidak yakin dengan kepimpinan kerajaan hari ini?
 
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir untuk merombak kepimpinan kerajaan hari ini agar jawatan Menteri Kewangan diberikan kepada pemimpin yang berintegriti dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan ekonomi dan kewangan negara. Di saat ringgit makin lemah dan pelabur asing saban hari keluar dari Malaysia, kenyataan tidak bertanggungjawab Menteri menyebabkan ekonomi negara makin parah.
 
Menariknya, PAC turut melaporkan penangguhan pemindahan dana dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST dibuat untuk menjaga kedudukan aliran wang tunai negara supaya tidak berada dalam keadaan defisit. Menteri Kewangan seharusnya peka tentang isu dan takrifan akaun serta sebab di sebalik penangguhan, bukan memburukkan ekonomi Malaysia demi menyebarkan tuduhan berunsur jahat untuk memburukkan kerajaan terdahulu.
 
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia turut khuatir dengan keadaan ekonomi Malaysia ditadbir oleh Pakatan Harapan. PAC turut mengumumkan bahawa kerajaan menggunakan dividen Khas Petronas berjumlah RM30 billion untuk membuat pembayaran balik cukai GST pada tahun 2019. Jelas menunjukkan bahawa Petronas dijadikan tempat berpaut untuk menutup kelemahan pentadbiran ekonomi kerajaan Pakatan Harapan. Jangan jadikan Petronas seperti habis madu, sepah dibuang. Diharapkan aset negara ini juga tidak dijual kepada syarikat asing atau swasta, seperti penjualan syarikat-syarikat lain di bawah Khazanah dan perancangan penjualan Malaysian Airlines.
 
Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
15 Julai 2019  – HARAKAHDAILY 15/7/2019

PADA Sidang Parlimen Ogos 2018, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa wang sebanyak "RM19.4 bilion Wang Bayaran Balik GST telah dirompak oleh Kerajaan Barisan Nasional dahulu".

Tuduhan 'rompakan' adalah perkara yang serius, bukannya boleh dibuat main-main dan serkap jarang apatah lagi amaunnya begitu besar iaitu berbilion Ringgit.
Ke mana ghaib dan lesapnya wang sebanyak itu?
PH khususnya DAP bersama laskar sibernya mengulang modal alkisah rompakan wang GST ini hampir setahun lamanya.

Lanjutan daripada tuduhan Menteri Kewangan itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen memulakan prosiding penyiasatan dengan memanggil semua pihak berkepentingan dalam isu ini termasuk Menteri Kewangan, Mantan Menteri Kewangan, mantan Menteri Kewangan II, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah JKDM dan Akauntan Negara. PAC juga mendapat taklimat daripada Ketua Audit Negara berhubung kesahihan tuntutan tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion selain mendapat pandangan Peguam Negara, Tommy Thomas mengenai prosedur bayaran balik GST.

Penyiasatan oleh PAC sudah pun selesai.
Hari ini Laporan PAC setebal 484 mukasurat dibentangkan di dalam Dewan Rakyat.
Apa hasil siasatan PAC itu?

Kesimpulan mudahnya untuk orang awam faham ialah Lim Guan Eng sememangnya layak digelar pembohong, penipu dan pembelit. Hal ini kerana dalam rumusan Laporan PAC jelas menyebut;

a) "Tidak ada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST. Hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST telah digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Kerajaan sebelum ini telah terlebih anggar hasil GST bersih yang dikutip pada kadar 65% daripada jumlah kutipan hasil GST."

b) "Penangguhan pemindahan dana dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST dibuat untuk menjaga kedudukan aliran wang tunai negara supaya tidak berada di dalam keadaan defisit pengurusan di mana perbelanjaan mengurus tidak boleh melebihi hasil."

Jadi, di celah mana hendak dikatakan wang itu dirompak mahupun disamun?

Sungguhpun PH bermusuh dengan BN, ianya tidak memberikan lesen menghalalkan fitnah dan cereka palsu terhadap musuh.

Sungguhpun demikian, DAP tetap mahu menjadi pembelit bagi menjaga air muka pemimpin no. 1 nya yang sudah terbukti berbohong.
Mereka menggunakan pandangan dan tafsiran undang-undang oleh Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menyelamatkan Lim Guan Eng.

Maaf, saya tidak rasa Peguam Negara kita ini layak diterima bulat-bulat pandangannya kerana sudah terbukti selama ini dia bersikap 'bias' dalam tindakan pendakwaan yang menyasarkan pembangkang dan menjadi pakar penyuci Clorox bagi membersihkan pemimpin dan juak PH daripada sabitan mahkamah.

Peguam Negara berpandangan amalan Kerajaan BN sebelum ini yang memasukkan semua hasil kutipan GST ke dalam Akaun Hasil Disatukan terlebih dahulu dan kemudiannya dipindahkan secara berperingkat apabila diperlukan adalah bercanggah dengan peruntukan Seksyen 7, Akta Tatacara Kewangan 1957 dan Seksyen 54 Akta GST 2014.

Sungguhpun demikian pandangan Peguam Negara, sebenarnya dalam Seksyen 54 (5) Akta GST jelas menyatakan Menteri Kewangan berkuasa dalam hal pembayaran kepada Akaun Hasil Disatukan bagi semua atau sebahagian daripada wang dalam Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST.

Bagaimana pula pandangan Ketua Audit Negara dalam isu ini?

Pada mukasurat 42 Laporan PAC ada menyebut bahawa Jabatan Audit Negara berpandangan dakwaan tunggakan bayaran balik GST RM19.47 bilion yang dibuat oleh Menteri Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia adalah kurang tepat kerana jumlah tersebut belum lagi melalui proses semakan seterusnya sebelum disahkan untuk kelulusan pembayaran.

Sebenarnya, jumlah tunggakan tuntutan pulang balik yang telah disahkan oleh Jabatan Kastam tetapi belum dibayar hanyalah RM 1.41 bilion, bukannya RM19.47 bilion seperti didakwa oleh Menteri Kewangan.

Punca ketidakcukupan wang untuk bayaran tuntutan bukanlah sebab wang itu dirompak tetapi jumlah tunggakan keseluruhan yang tidak dilaporkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST.

Bagaimana pula dengan penjelasan oleh Akauntan Negara, Datuk Saat bin Esa?
Amalan oleh Kerajaan BN terdahulu adalah berpandukan Seksyen 7, Akta Tatacara Kewangan 1957 yang mengatasi Akta GST 2014. Ianya dilaksanakan sejak Akta GST mula dikuatkuasakan sehinggalah Peguam Negara lantikan PH memberi pandangan yang berbeza.

Beliau turut menyatakan ketika penutupan akaun tahun 2018, Akaun Hasil GST masih mempunyai jumlah sebanyak RM20 bilion dalam Akaun Hasil Disatukan. Wang tersebut boleh sahaja dipindahkan ke Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST namun, tidak dapat dilakukan kerana akan mengakibatkan defisit yang besar.

Beliau juga bersetuju bahawa wang yang sepatutnya digunakan untuk bayaran balik GST telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk perbelanjaan Kerajaan.

Jelas dan terang bukan?

Cuba kita bandingkan pandangan Peguam Negara kesayangan PH, Ketua Audit Negara dan Akauntan Negara.
Adakah Lim Guan Eng ini insan soleh yang boleh kita percayai kata-katanya?

Di mana bukti wang GST tersebut dirompak?
Tidak ada bukti pun.
Sebenarnya, inilah modus operandi PH khususnya DAP.
a) Lempar sahaja tuduhan fitnah.
b) Ulang tuduhan fitnah
c) Ulang tuduhan fitnah
d) Ulang tuduhan fitnah
e) Bukti tidak dikemukakan
f) Hasil siasatan oleh pihak berkuasa, rupanya tuduhan itu palsu sahaja.

Jikalau anda tidak percaya, lihat sahaja isu dakwaan PAS menerima wang 1 MDB sebanyak RM90 juta.
Sudah setahun mereka berkuasa, tidak ada sebarang bukti, tangkapan dan pendakwaan dikenakan terhadap mana-mana pemimpin PAS.

Persoalan akhir yang amat wajar ditanya kepada Menteri Kewangan yang pakar berbohong ialah atas tujuan apa Kerajaan PH membuat pembayaran balik cukai GST dengan menggunakan sebahagian daripada dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion?

Mungkin dia takut nak mengaku bahawa Kerajaan PH juga menjadi punca kepada kehilangan wang pendapatan negara tatkala "tax holiday" selama 3 bulan dilaksanakan.
Petronas pula yang menjadi mangsa bagi menutupi aib dan kelemahan Kerajaan PH dalam mengurus kewangan negara.

Apa yang nyata, Lim Guan Eng dan PH secara umumnya terbukti telah menipu rakyat. Pembangkang sudah pun mengemukakan usul terhadap Menteri Kewangan agar dia diseret kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana bercakap bohong dan mengelirukan dewan.

Adakah Speaker Dewan Rakyat akan menerima usul tersebut untuk dibahaskan dan diputuskan di dalam Dewan?
Urusan itu terserah kepada budibicara beliau namun, perlu diingatkan bahawa rakyat berhak menilai apa jua keputusan yang akan dibuat nanti.
Seandainya Lim Guan Eng masih diselamatkan oleh Kerajaan PH, maka kita tunggu sahajalah rakyat yang akan memberi hukuman pengajaran kepada pemimpin yang angkuh melalui kertas undi nanti.

SYED AHMAD FADHLI
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
15 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 16/7/2019

JABATAN Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (JUHAM) menyokong penuh kenyataan Tuan Guru Presiden PAS bertarikh 13 Julai 2019 yang menggesa kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948, tetapi mencadangkan takrif hasutan untuk dibincangkan dengan lebih jelas supaya undang-undang itu tidak disalahgunakan.
 
Usaha Kerajaan PH untuk memansuhkan Akta Hasutan 1984 kini kembali menjadi ‘isu hangat’ sejak keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 8 Julai 2019 yang menolak rayuan Wan Ji bin Wan Hussin terhadap sabitan dan hukuman kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina DYMM Sultan Selangor. 
 
Walaubagaimanapun, sebarang usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 hendaklah dibawa terlebih dahulu kepada perhatian dan persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu bagi mengelakkan ianya tidak lebih sekadar retorik politik yang akan mengundang kecaman.
 
Kecelaruan Kerajaan PH dalam isu ratifikasi perjanjian ICERD yang mana pada akhirnya tidak mendapat ‘restu’ dari Majlis Raja-Raja Melayu menjustifikasikan kecelaruan yang akan turut berlaku dalam usaha Kerajaan PH untuk memansuhkan Akta Hasutan 1984. Ini disebabkan Akta Hasutan 1984 tidak boleh dibatal, dipinda melainkan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja dan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen. 
 
Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan telah digubal untuk  menyekat kebebasan bersuara masyarakat terhadap empat perkara yang dianggap sensitif iaitu bahasa kebangsaan, hak istimewa Bumiputera, hak warganegara Malaysia dan kedaulatan dan kuasa Raja-Raja Melayu. Justeru sokongan majoriti dua pertiga Parlimen diperlukan untuk meluluskan sebarang pindaan dan pembatalan terhadap Akta Hasutan tersebut sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 159(3) Perlembagaan Persekutuan.
 
Seterusnya persetujuan Majlis Raja-Raja juga diperlukan untuk meminda atau membatalkan Akta Hasutan kerana ianya berkaitan dengan Perkara 10(4), Perkara 152 (kedudukan Bahasa Melayu), Perkara 153 (kedudukan istimewa Bumiputera), hak warganegara Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan. 
 
JUHAM tetap dengan pendirian bahawa tiada apa-apa juga undang-undang yang bersifat zalim dan menindas wajar dikuatkuasakan. Namun, melihat kepada situasi hari ini, kelihatan isu-isu sensitif melibatkan ras kaum, bangsa dan agama serta Institusi Raja-Raja semakin galak ‘diuji’ dan ‘dicabar’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Maka, undang-undang seperti Akta Hasutan 1984 masih lagi diperlukan bagi mengimbangi hak kebebasan bersuara dan tanggungjawab terhadap masyarakat. 
 
JUHAM mengajak Kerajaan PH mengambil iktibar dalam tindakan tergesa-gesa mereka memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 sebelum ini. Kesannya, sehingga kini penularan berita-berita dan maklumat palsu yang bersifat fitnah semakin sukar dibendung dan menjadi barah kepada masyarakat.  Maka, dalam perihal Akta Hasutan 1984 ini, satu tindakan berhemah dan holistik perlu dilakukan dan bukan sekadar menunaikan janji-janji Manifesto Suci PH semata-mata. 
 
Sebaliknya, JUHAM bertegas dan sepenuhnya percaya  bahawa Akta Hasutan 1984 ini perlu ‘diharmonikan’ dan diberikan roh yang dapat memberikan keadilan kepada semua pihak dalam perlaksanaannya. Ia tidak boleh dijadikan sebagai suatu alat untuk menutup mulut atau mematikan langkah musuh-musuh politik atau digunakan secara tidak sah bagi tujuan-tujuan mala fide (niat jahat) kepada sesiapa sahaja. Umpama sebilah pisau, ia boleh digunakan untuk tujuan kebaikan, tetapi di masa yang sama ia juga boleh digunakan untuk menyerang dan membunuh. 
 
Akhirnya, JUHAM bersedia menawarkan kepakaran untuk membantu pihak Kerajaan PH untuk menambahbaik dan mengharmonikan Akta Hasutan 1984 ini bagi menjaga keadilan dan menjamin keharmonian masyarakat dan negara.
 
"Demi Islam"
"Islam Memimpin Perpaduan"
 
NOORHISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah
Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia
Dewan Pemuda PAS Malaysia
15 Julai 2019 I 12 Zulkaedah 1440 - HARAKAHDAILY 15/7/2019

PELAKSANAAN levi pelepasan bermula September tahun ini boleh menyumbang kepada kegagalan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 yang menyasarkan 30 juta pelancong dengan kutipan RM100 bilion. Sejak 2 tahun lalu, jumlah pelancong ini hanya 25.8 juta sahaja setahun.

Ini kerana pelaksanaan levi pelepasan ini boleh menyebabkan jumlah penumpang udara akan berkurang sekali gus mengurangkan jumlah pelancong.

Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) pada 2018 menjangkakan sejumlah 6% penumpang atau 2 juta pelancong akan berkurangan dengan pelaksanaan levi pelepasan. Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pada tahun ini juga menjangkakan jumlah penumpang akan berkurang sebanyak 835,000 setahun.

Sepatutnya Kerajaan mengambil pengajaran daripada pelaksanaan pelbagai cukai atau caj sebelum ini sehingga sumbangan sektor penerbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut sebanyak AS$419 juta (RM1.72 bilion), menyebabkan kehilangan 5,300 pekerjaan serta menghakis daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Pada 2017, Cukai Pelancongan dikenakan kepada pelancong asing yang menginap di hotel. Pada 2018, caj perkhidmatan penumpang (PSC) dinaikkan. Pada Mac tahun ini pula, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mula melaksanakan caj RM8 bagi bas persiaran dan RM4 bagi van pelancong untuk mengambil dan menurunkan penumpang di KLIA2. Saya percaya jika levi pelepasan tetap diteruskan pada September ini, industri pelancongan akan semakin merosot teruk.

Oleh itu, saya menggesa supaya levi pelepasan ini ditangguhkan dahulu sehingga telah mengambil kira prestasi TMM2020 nanti.

"Islam Memimpin Perpaduan"

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin, 15 Julai 2019 | 11 Zulkaedah 1440 – HARAKAHDAILY 15/7/2019

More Articles ...