16
Wed, Oct
22 Artikel Baru

Taqwa Green Mart, PAS Lumut cipta sejarah

Berita
Typography

LUMUT: Majlis perasmian Kedai Runcit PAS Kawasan Lumut, Taqwa Green Mart di bawah kelolaan Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan telah berjaya dirasmikan, di sini kelmarin.

Majlis perasmian kedai runcit ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Negeri Perak, Azhar Rifaie di hadapan bangunan kedai runcit ini.

"Tahun ini, slogan Buy Muslim First(BMF) merupakan satu kuasa kesedaran menjadikannya salah satu strategi yang telah ditunjukkan oleh Nabi S.A.W dalam peristiwa membeli telaga dari orang Yahudi di dalam sirahnya.

"Serta dalam peristiwa hijrah ke Madinah, seorang Sahabat Nabi, Abd Rahman bin Auf R.A meminta penduduk Madinah, kaum Ansar mencari lokasi pasar setelah tiba di Madinah menunjukkan ekonomi merupakan satu perkara yang sangat penting," katanya.

Pesan beliau lagi, kedai runcit ini perlu dijadikan terbuka kepada masyarakat umum sekitar Manjung dengan menonjolkan cara muamalahyang senang dan mesra ketika berurusan mengikut garis panduan Islam.

Disamping serunya, layanan baik mengikut konsep ekonomi dipanggil greetersagar dapat menjadi buah mulut terbaik melalui kuasa viral di komuniti Manjung yang merupakan tempat strategik berdasarkan populasi penduduk Melayu Islam.

Beliau juga berharap dengan keberadaan kedai runcit ini dapatlah memasarkan produk-produk halal dan mewujudkan hub direktori kepada para usahawan dalam pelbagai bidang di sekitar Manjung.

Sementara itu, Yang DiPertua PAS Lumut, Rasli Abd Rahman, berkata, sejarah telah tercipta bagi PAS Lumut dengan penubuhan kedai runcit ini apabila telah berjaya melaksanakan usul Mesyuarat Agung.

Jelas beliau, usul tersebut telah dipersetujui sebulat suara oleh para perwakilan PAS Lumut di dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2019 setelah beberapa kali percubaan membuka kedai runcit tidak berjaya.

Majlis ini turut diserikan dengan persembahan artis nasyid jemputan, Syidee Khayran dan pendeklamasi sajak, Raai Yusuf serta Pengerusi Kedai Runcit Taqwa Green Mart, Ahmad Kamarulnizam Majid. - HARAKAHDAILY 23/9/2019 

IMG 20190923 WA0041