21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

Ta'awun PAS-Umno jadikan PH kerajaan sepenggal

Berita
Typography

KEPALA BATAS: Gagasan PAS dan Umno serta NGO-NGO untuk membentuk kerjasama erat, padu dan mantap diyakini mampu membawa cabaran menumbangkan PH pada PRU15 sekali gus menjadikan koalisi PPBM, DAP, PKR dan PAN itu kerajaan sepenggal.

Optimistik tersebut disuarakan Yang DiPertua PAS Kawasan Kepala Batas, Bukhori Ghazali atas komitmen pihaknya kepada ta'awun bersama pihak-pihak dinyatakannya itu ketika hadir ke Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Umno Bahagian Kepala Batas, hari ini.

PAS Kepala Batas mencatat sejarah memenuhi undangan julung kali tersebut diketuai Bukhori yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang bersama Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan pada majlis di Dewan Mentari, Sunshine Bertam, di sini.

Ianya juga menjadi kunjungan balas PAS Kepala Batas selepas Ketua Umno Kepala Batas, Dato' Seri Reeza Merican Naina Merican dan Ahli Jawatankuasanya terdahulu telah hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kepala Batas, pada Mei lalu.

Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Naib Presiden Umno, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob yang antara ucapannya menyentuh detik penting ta'awun tersebut di mana PAS dan Umno akan memeterai piagam di Kuala Lumpur pada 14 September depan.

Umno Kepala Batas sebelum ini turut menegaskan perkara sama dengan menyatakan hubungan bersama PAS bukan gabungan politik tahaluf siyasi, sebaliknya dalam rangka gagasan parti bukan kerajaan untuk memastikan Kerajaan PH sebagai kerajaan sepenggal. - HARAKAHDAILY 18/8/2019

IMG 20190818 WA0030