19
Mon, Aug
21 Artikel Baru

K'jaan PH celaru, gagal kawal sentimen perkauman

Berita
Typography

KUALA KEDAH: Kerajaan didesak agar segera bertindak menangani masalah berhubung sentimen perkauman yang dilihat semakin tegang sejak kebelakangan ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ketegangan kaum semakin kuat dan menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dan andainya dibiarkan tanpa tindakan, dibimbangi akan mencetuskan pertembungan kaum.

"Kerajaan Pakatan Harapan perlu serius melihat hal ini. Isu kemalangan sahaja boleh menjadi pembunuhan. Kes tulisan Jawi dan khat juga dilihat mencetus isu perkauman sedangkan ia tidak ada kaitan dengan agama pun," ujar beliau kepada Harakahdaily, malam tadi.

Sehubungan itu katanya, untuk membendung insiden sedemikian sewajarnya kerajaan mengekalkan Akta Hasutan tetapi jangan disalahgunakan, di samping kembalikan akta kawal media sosial yang dilihat menjadi medan menyuburkan gejala negatif itu.

Selain itu, kecelaruan serta kelemahan pentadbiran PH juga antara penyebab perkara sedemikian sukar dikawal.

Ujar beliau, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mengawal menteri-menterinya apabila keputusan yang dibuat tidak dihormati walaupun dipersetujui di dalam Kabinet.

"Bila keputusan Perdana Menteri (PM) tidak dihormati oleh menteri-menteri Kabinet yang beliau lantik sendiri, maka di situ jelas menunjukkan berlaku kepincangan dalam pentadbiran mereka.

"Itu sebab tidak hairan andainya di saat akhir boleh berlaku U-turn walaupun PM sudah buat ketetapan. Rakyat melihat kelemahan ini, bila sahaja ada desakan dan tekanan luar, kerajaan mudah mengubah pendirian," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau juga kesal dengan sikap Menteri Belia dan Sukan, Syed Sadiq yang membuat kenyataan berbeza dan bertentangan dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri berkenaan Zakir Naik.

Namun apabila timbulnya penghinaan terhadap Angkatan Tentera  Malaysia (ATM) tiada sebarang kenyataan segera dikeluarkan walau dari Menteri Pertahanan sendiri.

"Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar pun senyap sedangkan beliaulah antara pemimpin yang banyak mengeluarkan kenyataan.

"Mulut penuh kuih bakul agaknya," ujarnya berseloroh.

Beliau hadir merasmikan Majlis Jamuan Mahabbah anjuran PAS Kawasan Kuala Kedah di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Dr Mohd Hayati Othman dan beberapa orang jawatankuasa Harian PAS negeri.– HARAKAHDAILY 16/8/2019