19
Mon, Aug
21 Artikel Baru

Usir Dr Zakir: Tindakan dua menteri hanya alasan

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad meminta supaya dua orang menteri yang mendesak supaya Dr Zakir Naik diusir dari negara ini mendengar keseluruhan ucapan pendakwah antarabangsa itu dan tidak ambil luar daripada konteks.

Dua menteri yang dimaksudkan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran apabila akan membawa cadangan kepada Kabinet supaya mengusir Dr Zakir dari terus menetap di negara ini.

Menurut Ustaz Idris, tindakan kedua-dua menteri tersebut sebenarnya hanyalah satu alasan supaya Dr Zakir dihantar balik ke India dan halau keluar dari Malaysia.

"Sebenarnya mereka hanyalah mengambil ini (kenyataan) untuk bertindak dengan agresif terutama sebelum ini mereka sudah berkali-kali meminta supaya Dr Zakir dihantar balik ke India dan halau keluar dari Malaysia.

"Ini hanyalah salah satu daripada perkara yang dijadikan alasan untuk mereka bertindak terhadap Dr Zakir," katanya kepada Harakahdaily.

Sebetulnya kata beliau, kedua-dua menteri itu perlu berdepan untuk berdialog atau berdebat dengan cara yang harmoni, itu tindakan sebetulnya bukan menggunakan kuasa yang ada dengan bertindak untuk mengusir.

Dalam masa yang sama, mantan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mendesak supaya ambil tindakan terlebih dahulu terhadap Menteri Perpaduan, Senator Waytha Moorthy yang pernah menipu dan memburukkan nama baik Malaysia di luar negara.

"Kenapa itu tidak diambil tindakan terhadap beliau dan begitu juga kenapa tidak bising hal berkenaan penghinaan taikun yang telah menghina tentera hanya makan dan tidur?

"Mengapa tidak ambil tindakan terhadap beliau yang telah memburukkan tentera kita yang telah berjasa untuk negara? Itu lebih teruk daripada kenyataan Dr Zakir," tegasnya.

Dr Zakir yang telah mengadakan satu siri jelajah ke negeri Kelantan dan menghadiri satu siri acara penutup di Stadium Muhammad IV di Kota Bharu pada Jumaat lalu telah menjelaskan bahawa ucapannya dalam acara itu telah diambil luar daripada konteks.

Kenyataan sebenar beliau ialah terdapat kumpulan penganut Hindu di negara ini memilih untuk menyokong Perdana Menteri India berbanding Dr Mahathir dalam isu permohonan New Delhi untuk mengekstradisinya.– HARAKAHDAILY 16/8/2019