19
Mon, Aug
21 Artikel Baru

PASRelief jaya misi korban di 4 negara serantau

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Misi Korban dan Akikah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) yang dilaksanakan di empat negara iaitu Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Myanmar telah disempurnakan dengan jayanya kelmarin.

Selain misi kepada umat Islam Bangsa Moro di Mindanao, Filipina yang telah dahulu dilaporkan Harakahdaily semalam, turut selesai adalah misi di Surabaya, Jawa Timur, Indonesia diketuai Pengerusi PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor.

Misi yang turut disertai oleh Setiausaha Agong PAS, Dato' Takiyuddin Hassan serta Ahli Jawatankuasa PASRelief, Abdullah Acheh dan Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali itu telah menyembelih 10 ekor lembu dan dua ekor kambing di sana.

Misi julung kali yang dicetuskan seruannya oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ini atas mengukuhkan kejiranan dan silaturahim, selain ibadah korban itu sendiri telah dilaksanakan di Pusat Dakwah Graha TI, di sini pada 12 dan 13 Ogos.

Misi PASRelief ini juga merupakan pengukuhan kepada kerjasama erat serantau dalam agenda mencapai pelbagai matlamat terhadap kepentingan umat Islam dari dua negara ini iaitu antara PAS dan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia.

Kelancaran misi yang telah menyantuni 1,500 warga miskin pinggir bandar di lima lokasi itu dikelola dengan bantuan Ketua Umum Dewan Pengurusan Wilayah PKS Jawa Timur, Arif Hari Setiawan bersama NGO-NGO Dakwah yang bernaung di bawah PKS.

Menurut Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, umat Islam miskin di sana tidak pernah makan daging sejak bertahun-tahun dan telah menerimanya pertama kali menerusi misi dilaksanakan oleh pihak PASRelief.

Sementara itu, misi sama PASRelief untuk umat Islam Rohingya telah menyampaikan pemberian daging korban dan akikah dari 18 ekor lembu dan 29 ekor kambing di perkampungan Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar dan Kem Pelarian Rohingya di Bangladesh.

Misi kali ini telah turut dijayakan sama hasil penyertaan daripada orang awam dan para pimpinan PAS, selain kerjasama padu dukungan daripada Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri dan PAS Kawasan seluruh negara. - HARAKAHDAILY 16/8/2019

IMG 20190816 WA0017

IMG 20190816 WA0004