17
Tue, Sep
45 Artikel Baru

Belajar Jawi tidak jejas adat resam bukan Muslim

Berita
Typography

KOTA BHARU: Tindakan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) membantah pembelajaran Jawi dan khat yang dianggap sebagai usaha Islamisasi ke atas bukan Melayu dianggap tidak berasas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pembelajaran Jawi dan khat di sekolah vernakular tidak menjejaskan kepercayaan dan adat resam masyarakat bukan Islam.

“Tulisan khat merupakan salah satu identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan ia juga merupakan tulisan al-Quran.

"Bagi orang bukan Islam ia adalah salah satu identiti negara, kenapa tidak boleh terima,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melabelkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk Sekolah Wawasan.

Dr Fadzli juga berkata, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) sudah memperkenalkan bahasa Mandarin bagi membantu memperluaskan lagi khazanah negara. – HARAKAHDAILY 14/8/2019