19
Thu, Sep
44 Artikel Baru

Isu aibkan Presiden selesai, PAS terima maaf

Berita
Typography

KUALA LANGAT: Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi mengambil jalan penyelesaian harmoni berhubung isu muat naik gambar mengaibkan terhadap pimpinan PAS oleh seorang pemilik akaun Facebook.

Pendekatan tersebut sekali gus menghidupkan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang digagaskan PAS apabila hal tersebut ditangani secara tertutup dan menerima permohonan maaf atas keterlanjuran dilakukan.

Sebelum ini tular gambar suntingan menggunakan wajah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden MCA, Dato' Seri Wee Ka Siong yang berpelukan secara aib hingga menjadi kemarahan warga media sosial itu.

Pertemuan antara Dato' Dr Yunus yang juga Adun Sijangkang telah berlangsung dengan pemilik akaun tersebut, Lim Siong Leong secara tertutup di Poliklinik Sijangkang milik Dr Yunus, di sini pada pagi tadi.

"Beliau menyatakan permohonan maaf di atas hantaran yang tidak disengajakan dan tidak berniat jahat. Hakikatnya, PAS menerima permohonan maaf tersebut.

"PAS juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menjalinkan tautan persaudaran sesama kaum dan merapatkan jurang perbezaan sesama kita.Semoga hubungan kaum di Malaysia akan lebih harmoni dan sejahtera," ujar Dr Yunus. - HARAKAHDAILY 14/8/2019