21
Wed, Aug
32 Artikel Baru

Kematian di lebuh raya: Elak sentimen perkauman

Berita
Typography
DEWAN Pemuda PAS Malaysia ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia agar tidak memandang kes kematian Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Syakir akibat pertengkaran di lebuh raya semalam dari kaca mata perkauman. 
 
Dewan Pemuda PAS mengambil maklum bahawa suspek yang menyebabkan kematian mangsa sudahpun ditahan reman agar siasatan dapat dilakukan oleh pihak berkuasa. Dewan Pemuda PAS menyarankan agar rakyat memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang. 
 
Dewan Pemuda PAS terus komited dalam usaha menjaga keharmonian dan perpaduan antara kaum dan agama dalam negera kita ini. Adalah penting agar kita semua dapat mengawal emosi daripada mengeluarkan apa jua kata-kata yang boleh menjarakkan jurang perkauman. 
 
Dewan Pemuda PAS juga ingin mengajak seluruh rakyat agar memandu dengan mematuhi aturan, sentiasa dahulukan kesabaran dalam apa jua situasi, dan sekiranya berlaku apa sahaja insiden yang berlaku, hendaklah ia diselesaikan dengan lunas undang-undang, bukan dengan tindakan sendiri.
 
"Islam Memimpin Perpaduan"
"Demi Islam"
 
ARIFIRIAZUL PAIJO
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 11/8/2019