19
Mon, Aug
21 Artikel Baru

Khat Jawi: DAP cuba resahkan kaum dan agama?

Berita
Typography
KUALA LUMPUR: Bantahan dan desakan berkaitan isu khat Jawi yang sedang dijuarai DAP dilihat satu lagi cubaan untuk menimbulkan keresahan perkauman, demikian menurut Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit.
 
Menurutnya, DAP sedang mengalami satu fobia akibat dari kebangkitan Islam di negara ini yang sedang dipimpin dan digembleng oleh PAS hingga menjadi gelombang perpaduan ummah.
 
"Adakah mereka cuba menyuntik jarum halus dalam masyarakat bahawa Jawi dan khat ini seolah-olah sedang memaksa golongan bukan Islam untuk memeluk Islam?" soalnya membidas sikap radikal DAP itu.
 
Tempelak beliau, DAP pada satu sikap kononnya memperjuangkan kesamarataan dan hak asasi manusia, tetapi apabila umat Islam-Melayu mahu melaksanakan hak berkaitan agama dan budayanya ditentang.
 
Walhal katanya, orang Islam-Melayu di negara ini tidak pernah ada sentimen mahupun hasad apabila terbuka menghantar anak mereka belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil dan belajar tulisan berkenaan.
 
"Pada satu ketika lain, sedikit demi sedikit dan dari sokongan pakatan orang Melayu yang sebulu dengan mereka melunakkan alasan untuk menghilangkan hak org Islam. Contoh nyata, isu tulisan Jawi ini," ujarnya menyenarai campur tangan tersebut.
 
Sehubungan itu beliau menyeru rakyat terutama orang Islam-Melayu supaya bijak dengan permainan sepak terajang politik oleh DAP di mana mereka juga kini sedang berlagak juara dalam isu Dr Zakir Naik.
 
Ustaz Sabri yang juga Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka melahirkan rasa kesal yang amat sangat atas sikap DAP tidak menghormati hak dan sensitiviti kaum dominan di negara ini.
 
Terabg beliau, subjek khat dan Jawi pernah satu ketika dahulu dipelajari semua kaum, sekali gus memperkayakan seni halus, kaligrafi dan memeriahkan suasana kepelbagaian kreativiti semua kaum.
 
Katanya, tanpa sentimen politik melampau, ia satu usaha yang patut disokong kerana mahu memartabatkan tulisan yang pernah mendominasi wahana ilmu sejak pra merdeka dan mempunyai nilai komersial tinggi.
 
"Sebagai orang yang terlibat dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi, kita teruskan usaha martabatkan tulisan khazanah bernilai negara tanpa terikut-ikut rentak provokasi DAP dan sekutunya. 
 
"Tahniah kepada Perdana Menteri atas memuktamadkan tulisan Jawi dan khat dalam sistem persekolahan di negara ini," sokongnya. - HARAKAHDAILY 4/8/2019