18
Fri, Oct
25 Artikel Baru

Bantah jawi: 138 pemimpin DAP patut keluar Malaysia?

Berita
Typography
PERANGAI DAP yang berterusan menolak dan merendah-rendahkan tulisan jawi bukanlah perkara baharu. Kita masih ingat kebiadapan 4 Ahli Parlimen DAP pada tanggal 14 Febuari 2008 yang telah menyerahkan memorandum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur pada waktu itu, Datuk Abdul Hakim Borhan menggesa agar DBKL menurunkan semula papan tanda jalan yang tertera tulisan jawi bersama dengan tulisan rumi pada simpang simpang jalan. Mereka adalah Tan Seng Giaw, Tan Kok Wai, Fong Kui Lun dan Teresa Kok. Antara gesaan biadap dalam memorandum berkenaan berbunyi, “Kuala Lumpur merupakan ibukota yang mempunyai pelbagai kaum, ramai penduduk di Kuala Lumpur langsung tidak faham tulisan jawi, kenapakah DBKL memasukkan tulisan yang kebanyakan orang tidak faham dalam papan tanda jalan di Kuala Lumpur?”.
 
Mereka tidak sedar barangkali, majoriti besar orang Melayu yang bekerja di Kuala Lumpur dan Selangor sendiri juga tidak faham bahasa Cina, tetapi dalam memorandum berkenaan mereka cadangkan tulisan berkenaan dimasukkan ke papan papan tanda jalan. Ini bukanlah ayat rasis, tetapi ianya dilempar supaya otak DAP mereka sedikit terbuka untuk berfikir dalam asas rasional dan logik.
 
Tulisan jawi bukanlah benda baharu. Ia sudah lama wujud malahan ramai ilmuan dan ahli pakar sejarah menyebut bahawa tulisan ini sudahpun digunakan di Kepulauan Melayu sejak 700 tahun lampau. Seperti mana Kaligrafi Cina dan Tulisan Sanskrit yang mempamerkan kayanya seni serta peradaban sesuatu bangsa, begitu juga dengan tulisan jawi. Ia wujud serentak dengan kelahiran kerajaan-kerajaan silam iaitu Pasai, Acheh, Daya, Geresik, Perlak dan juga di Tanah Melayu. Setelah itu, dalam era seterusnya ia menjadi tulisan utama di Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Indonesia, Selatan Thai sehinggalah ke Sri Lanka. Ya, di Sri Lanka pernah diterbitkan akhbar Melayu (Jawi) yang dinamakan Alamat Langkapuri sejak tahun 1869 Masihi.
 
Bagi negara Malaysia sendiri yang kita sayangi ini, sehingga abad ke 20 Masihi telah lebih daripada 10,000 naskhah manuskrip Jawi dihasilkan. Ia merangkumi teks bagi undang undang tubuh kerajaan-kerajaan negeri dan antara yang agung adalah Teks Pemasyhuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 2 Ogos 1987. Di Sarawak sendiri sewaktu pentadbiran Inggeris, banyak teks teks kerajaan ditulis menggunakan Tulisan Jawi. Ini juga dapat dilihat berlaku di Negeri Negeri Melayu Yang Tidak Bersekutu yang mana mereka menggunakan tulisan ini dalam urusan rasmi harian.
 
Diakui oleh ramai sarjana dalam banyak kajian bahawa masyarakat lampau yang menguasai Tulisan Jawi akan lebih mudah memahami bahasa Arab dan juga mempelajari Al-Quran. Ini yang menjadi asas tunjang kepada akidah orang Melayu di negara ini. Lalu, kenapakah DAP begitu berani menyentuh hal-hal sebegini? Kalaulah orang Melayu yang cuba mencampuri urusan pendidikan kaum lain, sudah pasti akan digelar dengan perkataan rasis serta perkauman. Tetapi bagi pemimpin DAP?
 
Melihat kepada usaha berterusan oleh DAP, adakah boleh dikatakan ia usaha terancang dan secara komited mahu mencabut asas Islam itu sendiri? Kita telah dengar bagaimana Turki Moden yang mana rakyatnya mulai dijauhkan daripada tulisan Arab yang dekat dengan Al Quran serta Hadis, akhirnya fahaman sekularisme dan liberal mudah meresap ke dalam jiwa generasi baru mereka. 
 
Terbaru kecoh apabila dikatakan Ahli Parlimen DAP bagi Kepong menyebut ayat yang sangat tidak enak, "Sedang Menteri Pendidikan di negara-negara jiran merancang memperkenalkan bahasa program komputer kepada pelajar-pelajar muda, jangan kita menyapu tahi lembu di wajah kita dengan memperkenallan khat. Tolonglah." Lim Lip Eng menyamakan tulisan jawi sama dengan tahi lembu? Beliau kemudiannya ada menafikan tulisan ini dan mengugut untuk menyaman Harakah, meskipun merata-rata tular tangkapan skrin yang memaparkan beliau telah menyunting dan membuang perkataan “tahi lembu” berkenaan.
 
Jika benar terbit perkataan hina sebegini oleh seorang ahli Parlimen DAP, dan juga kes kes lama melibatkan tulisan jawi serta tajamnya tekanan oleh pimpinan DAP, diharapkan pimpinan Melayu dalam PH boleh menegur dan memberi amaran. Awal Mei lalu, Anwar Ibrahim menegur Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang menggunakan istilah ‘food bank’ dalam beberapa program yang dianjurkannya. Saifudin Nasution ditegur. Baguslah. Tetapi DAP hari ini jauh lebih teruk menekan Tulisan Jawi yang menjadi asas akar umbi Bahasa Melayu sejak zaman berzaman, maka bersuaralah pimpinan Melayu PH. Jangan berdiam diri.
 
Adakah perlu digerakkan himpunan Keranda 152 untuk kali yang keempat? Jika dahulu Keranda 152 ini merujuk kepada perarakan bantahan para pejuang Bahasa Melayu pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka. Ia simbolik kepada kematian Bahasa Melayu atas keputusan kerajaan pada waktu itu. Kali kedua diadakan perarakan Keranda 152 adalah pada 7 Mac 2009 apabila puluhan ribu rakyat berhimpun membantah dasar PPSMI yang mana akhirnya kerajaan melalui Menteri Pendidikan, Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pemansuhan dasar ini pada 8 Julai 2009. Keranda 152 sekali lagi diusung pada 26 Mac 2016 apabila pejuang bahasa yang terdiri daripada GMP, ABIM, PKPIM, MBPK, Gapena dan lain lain berhimpun dan berarak setelah kerajaan mahu meneruskan Program Dwi-Bahasa (DLP). 
 
Adakah dengan perkembangan terkini yang jelas dilihat bagaimana DAP dan NGO NGO seperti Dong Jiao Zong cuba merungkai asas Bahasa Melayu iaitu tulisan jawi, maka Himpunan Keranda 152 untuk kali yang ke-4 harus digerakkan segera? Apakah yang mampu dibuat oleh pribumi tanah air ini apabila warisan umat yang tidak ternilai sebegini cuba diremehkan oleh pihak pihak berkenaan? Ternyata mereka lupa daratan, buta sejarah, tak tahu diuntung. Nampaknya bukan Kit Siang sahaja yang rakyat sebut boleh keluar dari Malaysia, tetapi ramai lagi yang perlu diajar perkara yang sama!
 
NAZMAN CHE IBRAHIM
Presiden Pertahan Kelantan - HARAKAHDAILY 4/8/2019