18
Fri, Oct
24 Artikel Baru

Anak-anak pimpinan tertinggi PAS

Berita
Typography
SAYA tidak mengenali ramai anak-anak bekas Presiden PAS dahulu secara dekat. Saya hanya mengenali tiga orang secara agak dekat, iaitu semuanya anak Presiden PAS sekarang. Itu pun kerana mereka tinggal di Terengganu, dan berkebetulan isteri saya juga berasal dari Rusila dan kami sekarang tinggal di Marang. Juga kerana semua mereka itu bergerak aktif di dalam PAS, maka ada sedikit hubungan kerja selain dari kenalan.
 
Tetapi saya mengikuti kisah-kisah anak-anak bekas Presiden PAS ini, walau jauh di mata. Saya biasa membaca apa-apa kisah berkenaan mereka dan paling banyak, mendengar kisah mereka dari mulut pimpinan-pimpinan PAS. Ia mungkin benar, mungkin juga tidak. Tidaklah kisah-kisah itu terlalu mendalam, tetapi ada beberapa hal yang agak menarik yang mungkin boleh saya kongsikan.
 
Hal peribadi mereka, jika mahu menyokong sesiapapun selepas ketiadaan bapa-bapa mereka juga menjadi hak mereka. Ia adalah pilihan mutlak mereka, meneruskan perjuangan dakwah atau politik yang mereka percaya ianya benar. Tetapi apabila mereka mula menyerang PAS, maka, Presiden PAS dengan penuh kasih sayang, pernah mengeluarkan warkah kepada mereka supaya mengenang kembali perjuangan ayahanda mereka, sebelum PRU14 lalu.
 
Apa yang dapat dilihat ialah, kebanyakan mereka yang memilih jalan keluar dari jemaah PAS dan kemudiannya menyerang kembali PAS ialah mereka yang berasal dari negeri selain dari Terengganu. Maaf, inilah jalan kepada cerita saya yang mesti anda fahami dan bukan melihat kepada kenegerian atau apa-apa dalam bentuk ketaksuban termasuk berpuak-puak. Tenangkan hati, biar saya jelaskan.
 
Suatu ketika dahulu, jika anda perasan, anda sering didendangkan dengan ungkapan 'PAS Terengganu' dan 'PAS Kelantan'. Ia sangat biasa kepada orang yang tidak memahami keadaan sebenar apa yang berlaku di belakang tabir. Sering dilakukan ialah membandingkan keadaan PAS Terengganu yang sentiasa dilihat teruk, tidak berdaya maju, kalah, tidak pandai memerintah dan segala yang negatif. Manakala PAS Kelantan pula, sentiasa berada dalam keadaan positif. Tidak dinafikan ada yang betul, ada yang salah. Tetapi ada sebenarnya rahsia disebalik pemisahan nama itu.
 
Ia tidak berlaku secara kebetulan. Ianya dirancang. Dirancang oleh musuh dalam selimut suatu ketika dahulu dan di luar selimut sekarang ini. Mereka ialah dari kalangan JIM yang menyusup masuk dalam PAS bagi memusnahkan PAS dari dalam. Perpecahan jemaah Islam setelah kemasukan Anwar ke dalam Umno, menjadi sebab utama JIM memasuki semua parti politik lain. Ada yang Umno, PAS dan juga kekal dengan JIM.
 
Perancangan mereka melalui nama-nama seperti Rahim Gouse ialah menguasai parti-parti ini dari dalam. Mereka akan cuba menguasai kedudukan dalam parti bagi rancangan jangka pendek mereka. Menguasai pelapis-pelapis muda parti bagi rancangan jangka sederhana dan bagi jangka panjang, setelah menguasai semua ini, mereka akan merampas parti-parti ini dengan kempimpinan mereka.
 
Di dalam PAS, ia sudah menjadi kebiasaan bagi JIM, cuba mengambil kedudukan dalam lajnah perkaderan. Apabila mahu mengadakan seminar atau apa-apa program berkenaan perkaderan, mereka akan menjemput pimpinan PAS sebagai perasmi. Kemudian selepas menjamu selera, perasmi pulang, mereka akan mula mengeluarkan kertas kerja yang mereka sediakan, berlawan dengan isi kandungan yang dikehendaki oleh PAS. Mungkin juga silap PAS kerana tidak memeriksa bahan yang hendak diajar.
 
Selain itu, mereka juga berusaha keras untuk merampas seramai mungkin pelajar-pelajar PAS supaya dapat mereka bentuk menjadi pemimpin mereka. Ini dengan cara ahli JIM yang menjadi guru contohnya, akan mengesan anak-anak pimpinan utama PAS. Dengan cara melayani mereka dengan sebaik-baiknya, akan ada diantara anak-anak itu terpengaruh. Ditambah pula mereka dipercayai walaupun dari JIM kerana duduk di dalam PAS. Tidak sedikit anak pimpinan PAS yang terperangkap.
 
Manakala anak-anak pimpinan PAS Terengganu, tidak terlalu ramai yang berjaya mereka perangkap. Tiada seorang daripada anak Presiden PAS, Dato' Harun Taib, Ustaz Abu Bakar Chik, Dato' Mustafa Ali masuk JIM yang saya tahu. Berlainan dengan beberapa anak mantan almarhum Mursyidul Am, sehinggalah kepada pemimpin PAS Kelantan juga ramai yang terpengaruh seperti yang dapat kita lihat sekarang, begitu juga anak Dato Fadzil Nor dan Yusof Rawa. Serangan sudah berlaku semenjak awal 80-an lagi. Maka dengan sebab itu, JIM tidak kuat di Terengganu.
 
Setelah gagal mempengaruhi anak-anak pimpinan PAS Terengganu ini, maka mereka cipta suatu perbandingan PAS Terengganu dan Kelantan. Ini adalah strategi mereka dalam memusnahkan imej PAS Terengganu yang kebetulannya memiliki sangat ramai AJK PAS Pusat ketika itu. Selalu sahaja mereka memberikan imej pimpinan PAS Terengganu sebagai negatif. Ia berjalan secara senyap, tetapi berkesan.
 
Sewaktu Anuar Bakri Haron, orang Husam duduk dekat dengan TGNA, sering kedengaran perselisihan antara Presiden dan Mursyidul Am yang mendakwa menjadi nakhoda PAS. YB Nik Abduh juga kelihatan bagai anak yang jahat kerana menyokong Presiden. Sehinggalah terbukti anak TGNA yang derhaka ialah yang menyokong mereka. TGNA akhirnya akur setelah mendengar sendiri kisah yang sebenarnya dari Nik Abduh dan Ustaz Dusuki. Maka aman dan damailah Presiden dan Mursyidul Am selepas itu.
 
Apa yang mungkin JIM maklum ialah, pimpinan PAS Terengganu sudah mengetahui akan gerakan JIM dalam memenangi hati pelapis PAS ini. Maka mereka sudah bersiap sedia. Dato' Harun Taib misalnya, sering bertembung dengan pimpinan JIM. Sehingga suatu ketika, Presiden JIM, Shaari Sungib, pergi ke rumah Dato’ Harun kerana mahu menyertai PAS dan mahu Dato’ Harun sendiri menerimanya.
 
Dato’ Harun hanya tersenyum dan menyuruh Shaari kekal dalam JIM, tak perlu masuk PAS kerana beliau sudah dapat menghidu kekacauan yang bakal dilakukan Shaari. Dan benar, beliau adalah antara dalang dalam memusnahkan kerjasama PAS, PKR dan DAP di Selangor dengan melanggar arahan Presiden dalam isu Langkah Kajang. Maka jelas, dendam JIM kepada PAS tidak berpantai.
 
Rahim Gouse misalnya pernah diberitahu oleh Dato’ Harun dalam satu perjumpaan yang beliau menentang cara penerimaan sekolah-sekolah PAS kepada berbagai latar belakang pelajar yang baginya tidak betul. Kata Rahim, pelajar mesti dipilih supaya kualiti pelajar dan sekolah terjamin. Ringkas dijawab oleh Dato’ Harun, sekolah-sekolah PAS ibarat hospital. Kita menerima semua pesakit, tidak memilih. Kita mahu merawat semua mereka. Dan benar, sehingga kini sekolah-sekolah PAS telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Lebih dari itu, hampir semua duit itu adalah hasil derma ahli-ahli PAS. JIM gagal mendidik semua kerana memilih hanya pelajar cerdik.
 
Begitulah cara JIM memerangkap anak-anak ahli PAS terutamanya pemimpin. Mereka dengan niat yang tidak baik, mahu menguasai PAS. Seorang pimpinan PAS pernah memberitahu saya bahawa beliau tidak dilayan oleh cikgu beliau yang sebenarnya JIM semata-mata bukan anak pimpinan masa sekolah dahulu. Mereka tidak mempunyai akar umbi yang kuat kerana mereka berfikir bahawa mereka adalah kumpulan elit, cerdik dan hebat. Mereka lupa betapa besarnya keperluan mempunyai kumpulan pembantu yang dari berbagai jenis latar belakang dan bukannya dari mereka yang bertali leher sahaja.
 
Disebabkan itulah tujuan mereka mahu merampas PAS, untuk memiliki orang bawahan melalui PAS. Jadi tidak hairanlah, pukat yang mereka pasang semenjak dahulu lagi, kini sudah boleh dikutip hasilnya. Anak-anak bekas Presiden, Mursyidul Am PAS menjadi sebahagian mangsa mereka. Inilah pentingnya bagi kita orang PAS hadir ke usrah atau kuliah dengan membawa keluarga jika ianya bukan program dalaman. Kerana kita akan mendengar terus dari pimpinan, nasihat-nasihat yang penting.
 
Kita boleh mendengar nasihat-nasihat agama dari agamawan-agamawan lain, tidak salah tetapi ketaatan mesti kepada pimpinan kita. Jangan diagung-agungkan orang luar. Jika anda kecewa melihat anak-anak pimpinan PAS yang telah berjaya diubah pemikiran mereka menjadi penentang kepada perjuangan ayah mereka, maka anda mesti melakukan tindakan sekarang dengan mengajar anak-anak kita berkenaan PAS dan memperkenalkan pimpinan-pimpinan utama PAS bagi mereka ikuti.
 
MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
30 Julai 2019 - HARAKAHDAILY 31/7/2019