18
Sun, Aug
12 Artikel Baru

Perjuang isu melanda umat Islam negara ini

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bersama golongan ulama dan guru-guru agama dari sekolah pondok di seluruh negara menyatakan kebimbangan dengan keadaan kedudukan agama Islam yang dilihat semakin hari ditekan dari pelbagai sudut undang-undang, sosial dan paling ketara dalam dasar pendidikan negara.

Bercakap kepada media, Pengerusi UMMAH Aminuddin Yahaya mengulas muzakarah yang diadakan dengan golongan ulama dan daie di ibu negara baru-baru ini sebagai menyeru umat Islam di negara ini bersatu padu memperjuangkan isu-isu yang sedang melanda umat Islam negara ini dengan mengetepikan segala perselisihan faham.

Justeru itu katanya, komitmen ini dinyatakan sekitar lebih seratus ahli guru-guru agama dan ulama yang hadir pada muzakarah yang diadakan Hotel International, di sini yang menyokong wadah perjuangan UMMAH yang berusaha mengangkat Islam ke tahap yang lebih tinggi.

"Sokongan ini diberikan kepada UMMAH juga sebagai mempersetujui usaha UMMAH yang berusaha memperkukuhkan institusi ulama, pondok dan warisan perjuangan ulama terdahulu.

"Mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan UMMAH untuk menyebarkan kesedaran kepada umat Islam akan kegawatan agama Islam dengan meluasnya pemikiran liberalisme yang menyebabkan kerosakan pada aspek akidah serta pemikiran rakyat hari ini," katanya dalam sidang media selepas program muzakarah ijtimak.

Tambahnya, usaha ini tidak hanya merencanakan isu-isu semasa yang sedang melanda umat Islam malah juga sepakat bekerjasama membangunkan ekonomi umat Islam dengan pengeluaran produk muslim bertujuan membantu kewangan dan sosio ekonomi umat Islam.

Dalam pada itu juga, UMMAH katanya akan mengadakan jelajah ke institusi-institusi pendidikan agama Islam seperti sekolah-sekolah pondok di seluruh negara untuk menyampaikan hasrat yang dibangkitkan.

Malah ujarnya lagi, pihaknya menjangkakan akan mengadakan satu konvensyen kebangsaan yang menghimpunkan ulama dan para daie dari seluruh negara. – HARAKAHDAILY 15/7/2019