18
Thu, Jul
47 Artikel Baru

Jangan hina, hormati keputusan Mahkamah

Berita
Typography
PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menempelak tindakan Ahli Parlimen Port Dickson yang akan menemui YAB Perdana Menteri berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Wan Ji Wan Hussain. 
 
Anwar Ibrahim dilihat cuba menggunakan badan eksekutif untuk mempengaruhi badan kehakiman dalam melaksanakan tanggung jawab mereka. Sementara itu, Anwar Ibrahim turut menyifatkan keputusan tersebut tidak selari dengan peralihan demokratik.
 
PAS mahu badan kehakiman bebas daripada tangan-tangan politik kotor. Selain Anwar Ibrahim, Setiausaha Politik Lim Kit Siang turut mempersoal tindakan Jabatan Peguam Negara yang dikatakan bertentangan dengan polisi PH yang mahu Akta Hasutan dimansuhkan. 
 
Adakah mereka mahu supaya Jabatan Peguam Negara mengikut kehendak politik mereka dan membakul sampahkan kedaulatan undang-undang (rule  of  law)?  
 
PAS menganggap perbuatan Wan Ji Wan Hussain sangat biadab. Menghina dan menanam kebencian terhadap Institusi Diraja semakin teruk sejak pembentukan kerajaan baharu di bawah PH. Tindakan berat harus dikenakan terhadap pesalah sebagai langkah pencegahan. 
 
Kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi ia dihadkan dan tidak mutlak. Jika semua orang menyalahgunakan hak tersebut maka negara akan menjadi huru hara. 
 
Pemimpin PH menunjukkan sikap sebenar dengan membela gerakan menghina dan cubaan untuk menghapuskan Institusi Diraja yang menjadi teras Perlembagaan. Mereka mahu membela kebiadapan Wan Ji Wan Hussain dan mendesak supaya Akta Hasutan dimansuhkan. Pada masa yang sama, tindakan mereka secara tidak langsung menghina keputusan mahkamah yang telah diputuskan.  
 
KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan 
Parti Islam Se-Malaysia - HARAKAHDAILY 11/7/2019