17
Tue, Sep
38 Artikel Baru

Pelancongan: Terengganu sasar RM6b

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu melalui agensi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) sangat komited dalam mempergiatkan dan memajukankan sektor pelancongan negeri sebagai pemangkin ekonomi di negeri ini.

congJusteru, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya telah menyiapkan Pelan Strategik Pelancongan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu 2019-2023.

Menurutnya, agensi pelancongan negeri sentiasa mengadakan pelbagai promosi dan acara menarik, kreatif, berkesan dan ‘visible’ (terlihat).

Katanya, Terengganu mempunyai banyak produk-produk pelancongan menarik dan terkini ‘drawbrige’ yang menjadi ikonik serta mercu tanda baharu negeri ini sekarang.

“Pelan strategik yang disediakan itu merupakan satu dokumen rujukan yang menentukan hala tuju strategik jabatan pelancongan negeri.

“Visi yang diwujudkan iaitu untuk mencapai sasaran 6.5 juta pelancong datang ke negeri ini dan menerima RM6 bilion pendapatan pada tahun 2025, insya-Allah.

“Misi kita untuk menarik dan meningkatkan kedatangan pelancong untuk mereka berbelanja melalui peningkatan daya tarikan dan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi, serta menjadikan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan menjadikan Terengganu sebaga destinasi pilihan,” ujar beliau dalam satu sidang media di pejabatnya, Wisma Darul Iman, semalam.

Adun Alor Limbat itu turut menjelaskan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia akan menganjurkan kempen ‘Tahun Melawat Malaysia’ 2020.

Katanya, kempen itu yang lebih dikenali sebagai VM2020 (Visit Malaysia 2020) dan dijangka akan dapat memberi lonjakan ketibaan pelancong sebanyak 25.4 peratus dari 25.9 peratus pada tahun 2017 kepada 36 juta pelancong asing pada tahun 2020.

“Melalui kempen ini juga, pihak kementerian mensasarkan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion dicapai pada tahun 2020, berbanding RM104.1 bilion sahaja yang mampu dicapai tanpa penganjuran VM2020.

“Kita (Terengganu) berharap segala plan promosi yang diatur secara menyeluruh menerusi sauran media cetak, elektronik dan media massa akan menjadi kenyataan,” jelasnya.

Menurutnya, tinjauan dari masa ke semasa ke atas setiap program bagi memastikan perancangan dan sasaran yang dibuat itu dapat dicapai.

Tambahnya lagi, kerajaan telah mencapai satu kesepakatan yang jitu bersama badan bukan kerajaan (NGO) dalam menggembleng usaha dan tenaga bagi memacu kemajuan sektor pelancongan negeri ini. – HARAKAHDAILY 11/7/2019