18
Wed, Sep
21 Artikel Baru

Pindaan RUU disaran libatkan pegawai kerajaan

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato' Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menyarankan setiap Rang Undang-Undang (RUU) yang ingin dipinda dalam Dewan Rakyat perlu dibahas terlebih dahulu di antara kerajaan dan pegawai kerajaan atau rakyat.

Katanya, alangkah baik sekiranya cadangan pindaan setiap rang undang-undang dilibatkan juga pegawai kerajaan di samping menjemput parti-parti yang pasti mempunyai nada yang berbeza.

"Ia kerana RUU ini digubal oleh pihak kerajaan bersama dengan kakitangan kerajaan yang hanya senada tentu akan membawa sedikit ketidakadilan yang berlaku di antara rakyat dengan kerajaan.

"Contoh undang-undang yang dirangka sama ada berkait rapat dengan RUU Syarikat, sekiranya kesalahan dilakukan oleh syarikat, kerajaan dengan pantas akan mengambil tindakan tegas atau didenda, rakyat mesti membayar.

"Sebaliknya kesalahan dilakukan oleh kerajaan akan membawa suatu yang sangat menzalimi rakyat," katanya ketika perbahasan usul Rang Undang-Undang Syarikat (Pindaan) 2019 di dalam Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, berlaku ketidakadilan dalam rang undang-undang yang dilaksanakan malahan berbeza dengan apa yang diajar dalam Islam apabila rakyat mendaftar sesebuah syarikat akan dipantau oleh kerajaan sebaliknya kerajaan tidak dipantau.

Sementara itu, katanya RUU yang dibuat bukan memberi keuntungan kepada parti politik tetapi mahu rakyat terjamin dan perniagaan dalam negara berlaku dengan sihat.

Malahan tidak ada pihak tertentu mengambil kesempatan yang menyebabkan sekali gus ekonomi merudum.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, berkata RUU yang dibuat juga mesti tegas dan kemas supaya ekonomi negara berkembang dengan baik seterusnya menjadi model kepada negara lain. – HARAKAHDAILY 10/7/2019