18
Wed, Sep
21 Artikel Baru

Agenda Perpaduan Ummah bersama PAS diteruskan

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Umno Selangor akan meneruskan agenda ‘Perpaduan Ummah’ bersama PAS di setiap bahagian dan kawasan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, ia bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu/Islam serta agenda perjuangan diperkasa.

“Seterusnya Umno Selangor akan duduk semeja bersama rakan komponen BN negeri serta beberapa lagi rakan strategik seperti NGO dan kumpulan pendesak untuk mencerap dan merangka hala tuju menjelang PRU ke-15,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Terima kasih kepada pucuk pimpinan terutamanya YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan YB Datuk Seri Mohamad Hasan atas pelantikan untuk menerajui Umno Selangor.

Ia bukan satu jawatan untuk dibanggakan tetapi ia merupakan amanah dan tanggungjawab besar untuk berusaha mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno dan BN Selangor.

PRU14 lalu jumlah undi popular yang diterima BN adalah 450,742 undi daripada jumlah keseluruhan pengundi di Selangor seramai 2,415,074 pengundi (jumlah keluar mengundi 2,074,891). PAS menerima 296,250 undi. Jika undi BN dan PAS digabungkan sudah pasti jumlah kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan pada PRU lalu lebih berkurangan berbanding sekarang.

Apapun Umno Selangor tidak akan terus berangan-angan dengan angka-angka berkenaan tetapi akan terus memandang ke hadapan untuk bekerja dan berkhidmat dengan lebih berkesan melalui 22 bahagian di seluruh Selangor.

Sebagai langkah permulaan, Umno Selangor akan meneruskan agenda ‘Perpaduan Ummah’ bersama PAS di setiap bahagian dan kawasan bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu/Islam serta agenda perjuangan diperkasa.

Seterusnya Umno Selangor akan duduk semeja bersama rakan komponen BN negeri serta beberapa lagi rakan strategik seperti NGO dan kumpulan pendesak untuk mencerap dan merangka hala tuju menjelang PRU ke-15.

Satu ‘Majlis Musyawarah’ akan dibentuk dengan keterlibatan bekas-bekas pemimpin Umno dan BN Selangor termasuk bekas-bekas Adun, pemimpin komponen BN, pemimpin PAS Selangor dan kumpulan belia termasuk NGO. Peranannya bagi menggarap setiap maklum balas dan isu berkaitan sebelum dibawa ke mesyuarat perhubungan.

Umno dan BN Selangor juga akan mengadakan konvensyen dalam masa terdekat bagi kami mencari formula terbaik untuk menarik semula sokongan rakyat.

Ayuh mari kita sama-sama berpimpin tangan dan berganding bahu dalam bahtera ini untuk memberikan yang terbaik. ‘Semangat Semenyih’ mampu kita teruskan untuk membuktikan khidmat bakti kita kepada rakyat adalah ikhlas dan jujur.

Saya mengalu-alukan sebarang pandangan dan kritikan daripada rakan-rakan saya dalam Umno, BN, PAS dan NGO untuk tugas yang mencabar ini. – HARAKAHDAILY 6/7/2019