19
Mon, Aug
21 Artikel Baru

Kerajaan digesa agresif, bantu mangsa pencemaran

Berita
Typography
PASIR  GUDANG: Kerajaan dituntut segera menyelesaikan segala masalah termasuk mempertimbangkan bantuan yang lebih prihatin terhadap mangsa kesan dari pencemaran udara yang berlaku di sini.
 
Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, kejadian kedua yang menggegarkan negara sejak tragedi Sungai Kim Kim tiga bulan lalu itu berulang tanpa tindakan agresif.
 
Menurutnya, jika perlu, kerajaan mesti mendapatkan penglibatan pakar dan pihak berpengalaman menangani insiden ini yang dilihat semakin buruk berbanding kejadian pertama sebelum ini.
 
Gesanya, premis dan individu yang terbukti bertanggungjawab terhadap tragedi ini mesti dihadapkan ke mahkamah serta akta sedia ada dipinda kepada hukuman lebih berat dengan akibat terjadi.
 
"Kerajaan perlu buat kenyataan rasmi terhadap masalah pencemaran ini agar sedikit sebanyak dapat meyakinkan dan menenangkan masyarakat. 
 
"Punca masalah yang dijumpai hasil siasatan perlu didedahkan kepada umum agar masyarakat maklum dan dapat menilai sebaik mungkin," ujarnya.
 
Desaknya, secara khusus Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin mesti bertindak secara lebih proaktif agar keselamatan penduduk benar-benar terjamin.
 
Nawfal turut mendesak kerajaan segera mempertimbangkan pampasan dan ganti rugi sewajarnya kepada semua mangsa yang disahkan mendapat penyakit akibat dari kesan toksid pencemaran ini.
 
Termasuk katanya, ganti rugi yang dihadapi banyak keluarga pelajar kerana pakaian mereka tidak lagi boleh digunakan dan terpaksa dibuang, di mana semua itu memberikan bebanan kos. - HARAKAHDAILY 5/7/2019
IMG 20190705 WA0011