19
Mon, Aug
21 Artikel Baru

PAS sokong gugur kesalahan protes jalanan

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS menyokong usaha kerajaan menggugurkan kesalahan protes jalanan seksyen 3 dan 4 seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman.

Mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perhimpunan Aman (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata hal ini pernah dibangkitkan oleh pembangkang sejak tahun 2011.

"Pembangkang (telah) bangkitkan sejak 2011 lagi seawal akta ini mula dibentang kerana tafsiran yang tidak jelas dan kuasa yang diberikan kepada polis untuk menentukannya.

"Pun begitu, kerajaan hari ini yang adalah pembangkang dahulu mesti juga memberikan perhatian terhadap isu kuasa polis untuk menggunakan kekerasan bagi menyuraikan perhimpunan seperti dinyatakan dalam Subsyeksen 21(2).

"Peruntukan ini mesti dikaji sama ada bermasalah pada aspek penggunaaan perkataan semata-mata atau kandungannya," katanya.

Walau bagaimanapun katanya kerajaan perlu mewujudkan satu peruntukan bagi membolehkan suatu himpunan yang melibatkan kepentingan awam perlu disegerakan dengan pemberitahuan dalam tempoh 24 sebelum perhimpunan diadakan.

Cadangnya lagi, di bawah seksyen 6-tanggungjawab penganjur beliau menyarankan kerajaan mewajibkan penganjur menyediakan pasukan sukarela untuk membantu pihak berkuasa dalam hal keselamatan dan kebersihan di tempat perhimpunan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit menggalakkan keterlibatan kanak-kanak dalam perhimpunan aman sebagai usaha memupuk kanak-kanak berfikiran kritis dan cintakan negara untuk masa depan negara.

"Jika sekiranya himpunan aman dan tidak membawa senjata, saya rasa tidak salah kita melatih anak-anak kecil untuk terlibat untuk melahirkan mereka berfikiran kritis dan cintakan negara.

"Saya percaya semua himpunan aman dikawal dan PAS sebelum ini pun banyak membawa kanak-kanak dan saya minta agar ibu bapa yang membawa kanak-kanak tidak dikenakan tindakan," kata Sabri.

Rang Undang-undang Perhimpunan Aman (Pindaan) 2019 yang dibacakan pada kali kedua telah dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tengah hari tadi dan dijangkakan akan diluluskan hari ini. – HARAKAHDAILY 4/7/2019