29
Sat, Apr
15 Artikel Baru

Pertabalan Agong XV: Kelantan junjung kasih

Berita
Typography

KERAJAAN Negeri merakamkan ucapan tahniah serta menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, rakyat Kelantan mezahirkan rasa terharu dan gembira terhadap pertabalan itu pada 24 April ini.

"Kita mengucapkan dirgahayu kepada tuanku dan mengharapkan selama pemerintahan baginda membawa perubahan besar kepada masyarakat bukan sahaja di Kelantan bahkan seluruh negara.

"Serta meningkatkan lagi syiar Islam di negara ini, sesuai dengan keprihatinan tuanku tentang agama serta komitmennya terhadap ajaran Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran kempen membuka sekatan ke atas Gaza di Medan Ilmu Jalan Dato' Pati di sini hari ini.

Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan 24 April ini sebagai hari cuti umum tambahan di seluruh negara sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan berkata, dua acara utama akan diadakan di Istana Negara pada hari berkenaan.

Istiadat Pertabalan di Balairung Seri, pada sebelah pagi dan Majlis Santapan Diraja di Dewan Santapan, pada sebelah malam.

Katanya, dua acara lain turut akan diadakan, iaitu Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat di Masjid Putra, Putrajaya pada 20 April dan Pameran Raja Kita di Muzium Diraja pada 2 Mei. – HARAKAHDAILY 21/4/2017