Proses akhir kemas kini bantuan BLB

Berita
Typography

PENGAGIHAN bantuan kepada pesawah yang terkesan ekoran serangan wabak Hawar Daun Bakteria (BLB) dilakukan secara berperingkat, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib.

Beliau berkata, tidak timbul sebarang isu kononnya pengagihan tidak disalurkan secara adil memandangkan senarai pengusaha tani yang terjejas masih lagi dalam proses kemas kini.

“Berdasarkan bancian Jabatan Pertanian, senarai lot yang terkena serangan BLB sudah dikenal pasti berserta nama pengusaha untuk diedarkan kepada ketua blok bagi mengesahkan pengusaha sebenar yang mengusahakan lot berkaitan," ujarnya dipetik SelangorKini.
 
Tambahnya, ketua blok mengemukakan senarai dikemas kini kepada Jabatan Pertanian berserta dokumen salinan kad pengenalan untuk proses pembayaran.

"Senarai yang dikemas kini dijangka siap pada 21 April ini,” katanya.

Beliau berkata, selepas proses kemas kini selesai, Jabatan Pertanian akan mengemukakan senarai kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) untuk proses pembayaran bantuan pada kadar RM960 mengikut lot.

Menurutnya, majlis penyerahan cek akan dibuat secara berperingkat oleh kerajaan negeri.

Namun, ujarnya sebelum bantuan diberikan, kerajaan negeri sudah mengedarkan input baja mikrob sebanyak 2,000 botol untuk 2,000 lot sawah terlibat dan 2,600 racun rumpai bagi 2,600 lot sawah.

Menurut beliau lagi, jumlah peruntukan terlibat dianggarkan RM942,000.

Untuk makluman, sektor pertanian adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun keprihatinan kerajaan negeri melangkaui fungsi sebenar dasar berkebajikan itu.