23
Mon, Sep
22 Artikel Baru

Fenomena goncang setiap kali muafakat itu biasa

Berita
Typography
LUMUT: Fenomena 'goncangan' dalam kalangan ahli PAS setiap kali termeterainya permuafakatan politik adalah perkara yang telah berulang kali berlaku sepanjang sejarah perjuangan PAS.
 
Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan bahawa fenomena demikian bukan pelik, malah berlaku di dalam sirah bahawa penulis wahyu Rasulullah juga pernah murtad.
 
"Bila PAS bersama S46, sebahagian ahli kita meninggalkan PAS. Waktu PAS bergabung dengan BN tahun 1974, keluar parti sebahagian (ahli). Pengerusi Tarbiah, pernah keluar daripada PAS. Presiden PAS pernah meninggalkan PAS. 
 
"Ketua Dewan Ulamak pernah meninggalkan PAS. Ketua Muslimat pernah keluar daripada PAS. Timbalan Presiden pernah keluar daripada PAS," ujarnya merasmikan Konvensyen PAS Perak di Marina Island Pangkor Resort, di sini pagi tadi. 
 
Oleh itu, beliau menasihatkan ahli supaya tenang dan membetulkan matlamat serta tujuan dalam perjuangan kerana tiada formula untuk seseorang istiqamah kecuali mengharapkan Allah mengukuhkan hubungan.
 
Perkara tersebut turut dihuraikannya dari tafsir ayat 30 surah Fussilat selain mengumpamakan perjuangan seperti permainan catur di mana selain sudut taktikal dan strategi, juga memiliki falsafah berkaitan matlamat. 
 
"Kalau agama mati, tidak ada guna kita ada kekuatan. Tapi selagi agama ada, perjuangan diteruskan," katanya lagi bagi menjelaskan analogi tersebut. 
 
Konvensyen Kali Ke 21 ini turut dihadiri oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, serta Pengerusi Umno Perak, Dato Sha'arani Mohamad. - HARAKAHDAILY 25/5/2019