18
Thu, Jul
30 Artikel Baru

Gotong royong bersih pasar sebulan sekali

Ustaz Ahmad Yakob melakukan semburan membersihkan Dataran Bandaraya.

Berita
Typography

KOTA BHARU: Semua pasar utama di seluruh Kelantan disaran ditutup urus niaga sebulan sekali bagi membolehkan gotong royong membersih pasar diadakan.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap jajahan perlu merancang perkara tersebut untuk menjayakan hasrat itu.

Menurutnya ia bertujuan untuk memberi peluang peniaga dan orang ramai membersihkan pasar.

“Jawatankuasa pengurusan pasar perlu memilih hari yang sesuai sama ada pertengahan atau hujung bulan untuk membuat operasi terbabit.

“Kita cadang pasar-pasar utama setiap daerah buat gotong royong sebulan sekali untuk membuang saki baki sampah sarap yang ada.

“Kalau pasar biasa di kawasan pekan sekiranya ingin sertai program itu juga dialu-alukan,” ujarnya selepas melancar program Kelantanku Bersih dan gotong royong perdana di Dataran Bandaraya Kota Bharu Bandaraya Islam hari ini.

Hampir 2,000 peserta menghadiri program berkenaan yang melibatkan gotong royong di 10 kawasan utama di bandar Kota Bharu. - HARAKAHDAILY 25/4/2019