22
Sun, Sep
28 Artikel Baru

Presiden rasmikan mercu tanda PAS Teluk Intan

Berita
Typography

TELUK INTAN: Kompleks PAS Kawasan Teluk Intan (KOMPASTI) telah disempurnakan perasmiannya oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam upacara meriah di Kampung Padang Tembak, di sini malam kelmarin.

Majlis bersejarah ini turut dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria bersama Ahli-ahli Perhubungan PAS Perak dan juga Ketua Umno Bahagian Teluk Intan, Dato' Azhar Jamaluddin Ahli Jawatankuasa Umno Teluk Intan.

Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Ustaz Ismail Che Nik dalam ucapan aluan beliau menyebut bahawa idea pembinaan KOMPASTI ini telah timbul sejak 2009 lagi melihat kepada jumlah ahli PAS yang semakin bertambah.

"Objektif pembinaan bangunan ini selain membina pejabat pentadbiran, ia bertujuan menjadi pusat aktiviti PAS seperti ceramah, mesyuarat agong, liqa' fiqri, kenduri kahwin dan juga tempat anak muda menjalankan aktiviti sukan seperti badminton, bola jaring dan futsal," ujarnya.

Pengerusi Pembinaan KOMPASTI, Ismail Johari memaklumkan, bangunan ini bermula dengan pembinaan dewan besar seluas 120 x 60 kaki persegi pada Januari 2015 dan siap pada Ogos tahun yang sama dengan kos RM385,000.

Manakala fasa kedua katanya, tertangguh hampir setahun apabila kontraktor yang sepatutnya menyiapkan gagal berbuat demikian walaupun kos pembinaan sebanyak RM100,000 telah diserahkan.

"Inilah cabaran paling besar yang dihadapi dalam usaha pembinaan bangunan KOMPASTI ini. Jadi bagi mengatasi masalah ini, kami telah membuat pinjaman Qardhul Hasan dari beberapa individu dan berjaya mengumpulkan RM90,000," ujarnya.

Akhirnya cerita beliau, pembinaan fasa kedua dimulakan pada Januari 2017 dengan kontraktor yang baru melibatkan keluasan 45 x 60 kaki persegi iaitu bangunan pentadbiran yang mengandungi pentas, musolla dan bilik mesyuarat.

Juga di bangunan sama itu terdapat Pejabat PAS Kawasan, pejabat Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat, bilik tetamu, bilik PA sistem, tandas dan setor di mana pembinaan fasa kedua ini hampir siap sepenuhnya dengan kos RM295,000.

Ismail menjelaskan, antara usaha dijalankan bagi menampung kos pembinaan bangunan ini ialah melalui infak bulanan, wakaf tapak, edaran kupon derma dan majlis makan malam yang telah diadakan sebanyak empat kali sebelum ini.

Katanya lagi, bangunan KOMPASTI ini masih memerlukan RM170,000 di mana RM80,000 untuk menaik taraf longkang yang sedia ada, menyiapkan lantai, memasang syiling, awning dan menurap tanah, serta membeli kipas besar.

Manakala RM90,000 lagi maklumnya, diperlukan untuk bayaran balik pinjaman Qardhul Hasan, di mana amat berharap sumbangan derma dari orang ramai bagi menyempurnakan pembinaan mercu tanda PAS Teluk Intan ini.

Para dermawan yang bermurah hati dan mahu mendokong usaha ini boleh melakukan sumbangan menerusi akaun BIMB 0803 1010 0530 85 atas nama PAS Kawasan Teluk Intan HARAKAHDAILY 23/4/2019

IMG 20190423 WA0020

 

IMG 20190423 WA0019

 

IMG 20190423 WA0014

 

IMG 20190423 WA0012

 

IMG 20190423 WA0011