26
Wed, Jun
17 Artikel Baru

PAS harap kerjasama lebih erat bersama Umno

Berita
Typography
TANJUNG MALIM: PAS berharap kerjasama dengan Umno yang berjalan kini bakal menuju ke tahap lebih baik, demikian dinyatakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. 
 
Perkara tersebut dijawabnya kepada media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Kali Ke-36 di FELDA Residence Hot Spring, Sungkai, di sini semalam.
 
“Harapan kami, kerjasama yang lebih baik. Lebih mantap dari yang lalu. Melihat kepada cabaran-cabaran yang lebih (hebat) dari masa lalu, (maka dibuat) secara berperingkat. 
 
"Kita mulakan dengan kerjasama melalui pilihan raya kecil. Memang kita akan tingkatkan lagi kerjasama itu. Ya, lebih erat. Lebih erat,” ujarnya menjawab pertanyaan media.
 
Mengulas mengenai ketegangan melibatkan Kontrak Sosial ditimbulkan pihak tertentu, beliau menyerah kepada semua pihak untuk mengkaji dengan matang dan bijak. 
 
Kerana menurutnya, rakyat Malaysia mahu berada dalam masyarakat secara aman di mana PAS komited untuk terus melangsungkan usaha perpaduan demi kebaikan negara.
 
Hal itu jelasnya terbukti melalui kebersamaan PAS dengan pihak gereja yang membantah kehadiran konsert kumpulan Black Metal yang disifatkan pro syaitan dan anti Kristian. 
 
“Ya, semua perkara yang meruntuhkan moral, kita bersama. Ada titik persamaan, kita bersama. Kita menentang (hal seperti itu),” ujarnya tegas.
 
Menjawab dakwaan Presiden PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa terdapat pemimpin PAS menerima dana RM90 juta, beliau mahu menanti pendedahan dibuat oleh pemimpin tersebut.
 
“Nanti (tunggu) dia dedah dululah siapa. Biar dedah dulu siapa pemimpin itu, baru kita akan buat kenyataan. Dan kita pun ada kenyataan. Pemimpin yang lain menerima bantuan daripada luar negara. Dengan jumlah yang sangat besar.
 
“Dan (dakwaan ke atas) kita tak ada bukti. Kita bergerak sendiri. Barangkali kalau dihimpunkan derma-derma PAS dalam tiap-tiap ceramah sepanjang tahun, lebih daripada RM90 juta. Kita boleh buat PASTI, beribu PASTI seluruh negara.
 
“Kita minta dia (beritahu) daripada mana dia dapat duit? Cuma dia uar-uarkan dia dapat dari luar negara. Biar dia beranilah. Dan jangan kerajaan siasat kita saja. Kerajaan kena siasat diri dia sendiri. Barulah adil,” ujar beliau lagi. - HARAKAHDAILY 22/4/2019
IMG 20190422 WA0067