24
Fri, May
21 Artikel Baru

PH diperingat supaya tidak jadi 'batu api'

Berita
Typography
IPOH: Kenyataan berbaur hasutan oleh pelaku bersifat 'batu api' yang membawa naratif salah terhadap politik Melayu-Islam boleh mengundang tindakan melampau ke atas rakyat di negara ini.
 
Mengimbas tragedi serangan pengganas di Christchurch bulan lalu, Razman Zakaria (PAS - Gunung Semanggol) mahu perkara tersebut menjadi iktibar kepada semua pihak.
 
Tragedi yang menyebabkan korban dan kecederaan itu diperingatkan beliau ketika membahas Titah Diraja pada Sidang Dun Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.
 
Jelas beliau, apabila dinyatakan orang Melayu terikat dengan politik berasas kaum dan agama, ia bukan bermaksud rasis dan jumud, sebaliknya berkait sejarah, latar belakang dan pembentukan berkaitan.
 
Oleh itu tegasnya, semua pihak tidak perlu bimbang dengan kerjasama di antara parti PAS dan Umno kerana ia berlaku di atas tuntutan Islam yang tidak tertunai selama ini.
 
Malah kemuka beliau, kerjasama itu asas utamanya akan menjaga keharmonian dan hubungan kaum serta memelihara batas-batas yang telah sedia terbina sekian lama.
 
Namun, beliau turut mengingatkan agar jaminan itu tidak dirosakkan dengan label berbaur hasutan seperti tuduhan mengaitkan dengan Taliban, Israel dan pengisytiharan perang ke atas bangsa lain.
 
Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak menyarankan kerajaan mengadakan program peningkatan kesedaran terhadap konsep 'Kontrak Sosial' sebagai asas keharmonian dikecapi selama ini.
 
Tegasnya juga, jangan diusik empat tonggak utama iaitu Institusi Raja, Agama Islam, hak istimewa Peribumi dan Bahasa Melayu termasuk melalui ICERD, Statut Rom mahupun lain-lain. - HARAKAHDAILY 18/4/2019