26
Fri, Apr
12 Artikel Baru

Bagaimana orang awam boleh periksa kereta polis?

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Satu video klip menunjukkan sebuah kereta peronda polis telah diperiksa oleh beberapa orang petugas pada PRK Rantau yang memakai baju Pakatan Harapan telah mengundang pelbagai spekulasi di media sosial.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menggesa pihak polis agar melakukan siasatan yang terperinci berhubung bagaimana insiden seperti itu boleh berlaku.

"Insiden seperti ini amat memalukan pihak polis sebagai penguatkuasa undang-undang kerana kereta mereka telah diperiksa oleh orang awam dengan sewenangnya.

"Orang awam tidak mempunyai kuasa dari segi undang undang dan ini adalah budaya baru yang dibawa oleh Pakatan Harapan," ujarnya.

Beliau mempersoalkan bagaimanakah anggota polis sebagai penguatkuasa boleh tunduk kepada orang awam yang memerintahkan mereka untuk membuka bonet kereta seperti yang tular baru-baru ini.

Fadhli turut mendesak pihak polis agar mengeluarkan kenyataan dan melakukan siasatan yang terperinci serta menahan dan menghadapkan pihak yang terlibat ke muka pengadilan demi kedaulatan undang-undang.

"Kejadian ini merupakan perkara yang tidak sihat di sisi undang-undang,” katanya lagi.

Sementara itu, Berta Harian Online malam tadi melaporkan seorang peniaga ayam berusia 37 tahun menjadi individu ketiga ditahan, jam 4.00 petang semalam berhubung kes berkenaan.

Sumber polis berkata, tiga lelaki berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini untuk permohonan reman. – HARAKAHDAILY 15/4/2019