19
Thu, Sep
46 Artikel Baru

Waspada 'bisikan syaitan' cuba lerai ta'awun

Berita
Typography
TAMBUN: Ahli Umno dan PAS diingatkan agar tidak terpengaruh dengan 'bisikan syaitan' yang cuba melerai ikatan terjalin antara kedua parti itu di mana semakin utuh sebagai muafakat sesama parti pembangkang.
 
Ketua Wanita Umno Bahagian Tambun, Surai Hussin berkata, impak positif daripada hubungan terjalin itu terlihat antaranya dari kemenangan diraih calon BN PRK N.27 Rantau, Dato' Seri Mohamad Hasan.
 
Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika berucap pada majlis Muslimat Berselawat anjuran Muslimat PAS Kawasan Tambun di Surau Al-Jamaiyah, Taman Hiburan, di sini hari ini.
 
Beliau merakam penghargaan terima kasih kepada jentera PAS khususnya dari Muslimat yang sangat membantu kelancaran gerak kerja pada PRK tersebut dan PRK sebelum-sebelum dari itu di mana turut meraih kemenangan.
 
Tegas beliau, kerjasama yang berlaku itu adalah atas dasar memperjuangkan agama, bangsa dan negara dari anasir negatif yang ghairah mengganggu gugat keamanan kaum khususnya sensitiviti Islam.
 
Pun begitu, beliau berharap tiada kebimbangan antara sesama PAS dan Umno bahawa antara ahli-ahli akan bertukar parti antara keduanya kerana masing-masing membawa pendekatan berbeza dalam perjuangan mereka.
 
Ucapan beliau itu turut diselitkan dengan pantun dua kerat menggunakan loghat dari Parit yang berbunyi, "Ikan keli tegak misai, usah peduli keme punya pasal" hingga mencuit ketawa para hadirin majlis itu. - HARAKAHDAILY 14/4/2019
IMG 20190414 WA0061