22
Mon, Jul
20 Artikel Baru

PRK Rantau: 14 pusat mengundi dibuka

Berita
Typography

SEREMBAN: Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang ini bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau.

Seramai 20,793 orang pengundi akan mengundi dalam PRK Rantau.

Seramai 515 kakitangan SPR akan bertugas di pusat-pusat mengundi berkenaan.

Pusat penjumlahan rasmi undi yang ditetapkan bagi PRK Dun Rantau ialah di Dewan Serbaguna, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun, waktu keputusan akan diumumkan jam 10 malam dan kemungkinan lebih awal.

Tempoh rasmi berkempen yang bermula sejak 30 Mac lalu berakhir 11.59 malam tadi.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, Dr S Streram (Pakatan Harapan) termasuk dua daripada Bebas, R Malar dan Mohd Nor Yassin

Ia adalah PRK ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di Dun Sungai Kandis pada 4 Ogos, Dun Balakong dan Dun Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) dan Dun Semenyih (2 Mac).

PRK Rantau diadakan berikutan Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding calon Umno, Mohamad Hasan sebagai tidak sah dan pemilihan semula perlu diadakan. – HARAKAHDAILY 13/4/2019