26
Fri, Apr
12 Artikel Baru

Kita saman saja, saman malu – Tok Mat

Berita
Typography

SEREMBAN: Tidak cukup melabel kerjasama politik antara PAS dan Umno seperti Taliban, baru-baru ini muncul pula kenyataan terbaru daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menyamakan kerjasama itu seperti Israel.

Calon BN untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau, Dato' Seri Mohamad Hasan menyifatkan ucapan sedemikian adalah melampui batas.

Malah, katanya sudah tiba masanya tindakan undang-undang harus diambil supaya mana-mana pihak berhenti mengeluarkan kenyataan mahupun ucapan sedemikian.

"Ada orang cakap pula baru-baru ini dua hari lepas, Umno dan PAS bersama, sama seperti Israel. This is too much, this is too much you know!

"Saya kata kita boleh ambil tindakan, kita saman saja, saman malu, this is already too much melabelkan kita sebagai Israel," ucapnya dalam Majlis Ramah Mesra di Bandar Ekar, malam tadi.

Isu seolah menyamakan kerjasama penyatuan ummah antara Umno dan PAS timbul dalam ucapan Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad ketika berucap dalam satu program kempen untuk calon PH.

Menyangkal sangkaan jahat itu, Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat menjelaskan tujuan diadakan penyatuan ummah adalah demi kestabilan politik dan ekonomi di negara ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno turut menyangkal tuduhan menyamakan PAS seperti Taliban.

Katanya, ia adalah persepsi jahat malah telah jelas dan terang negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS selama lima penggal masih kekal harmoni dan aman damai.

"Lima penggal PAS mentadbir Kelantan, dia kata PAS mentadbir macam Taliban, ada ke Taliban di Kelantan? Orang Cina, orang India malah ramai masyarakat Siam di Kelantan hidup aman damai, patung Buddha paling besar pun ada di Kelantan.

"Dia tahu ke apa itu Taliban? Taliban tak benarkan orang pergi sekolah, kalau pergi sekolah dia tembak," katanya di hadapan pengundi dari masyarakat Cina dan India Dun Rantau. – HARAKAHDAILY 11/4/2019

tm1

tm3