26
Fri, Apr
12 Artikel Baru

Banyak perkara positif sebelahi Tok Mat

Ustaz Ridzuan (dua dari kanan) di PDM Kampung Sega.

Berita
Typography

SEREMBAN: Calon BN, Dato' Seri Mohamad Hasan mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan kerusi tradisinya di Dun Rantau.

Adun Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim yang mengikuti perkembangan semasa di Dun tersebut berkata, banyak hal positif yang menyebelahi Mohamad yang juga mesra dipanggil Tok Mat.

"Insya-Allah, beliau mampu pertahankan kerusi Rantau," katanya yang hadir pada malam Majlis Ramah Mesra dengan calon BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sega di sini malam tadi.

Dalam majlis tersebut Tok Mat menceritakan mengenai pertemuan rahsia antara rombongan Presiden PAS di kediamannya di sini, pada Ogos tahun lepas dalam hal mencari titik persamaan antara kedua-dua parti pembangkang itu.

Mengulas mengenai hal tersebut, Ustaz Ridzuan berkata, kewajaran pertemuan itu diadakan selepas PAS dan Umno melihat perlunya penyatuan ummah apabila Melayu dan Islam dilihat semakin berpecah belah walaupun berada di haluan yang sama.

"Mereka (pimpinan) melihat keputusan penyatuan ini wajar dilakukan kerana ketika ini umat Islam sedang berpecah.

"Ini merupakan masanya untuk umat Islam bersatu membina kekuatan dan mengambil semula kuasa pemerintahan demi kestabilan politik dan keharmonian negara," katanya yang telah berkampung di Rantau sejak tiga hari lalu untuk membantu kempen Tok Mat.

Turut hadir bersama beliau pada malam tersebut untuk memberi sokongan kepada Tok Mat adalah AJK PAS Pusat, Ustaz Abdullah Hussin, Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek dan penyokong PAS dari Kedah. – HARAKAHDAILY 10/4/2019