17
Wed, Jul
46 Artikel Baru

Usul separuh masak PH gagal

Berita
Typography
KITA menyaksikan kegagalan PH dalam usul pindaan Perlembagaan semalam melalui undi belah bahagi. Ia detik memalukan PH yang terpaksa juga ditelan oleh Perdana Menteri. Tun Mahathir terpaksa menanggung semua ini berpunca kegopohan dan desakan rakan-rakannya yang gagal untuk lebih cermat dan mengambil pendekatan lebih berhemah dalam menjayakannya. Sedangkan usul ini sebenarnya boleh dirunding, dibincang bersama agar menjadi sempurna dan diterima semua.
 
Ramai Ahli Parlimen dari Sarawak yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah anak cucu dari pejuang-pejuang kemerdekaan terbilang dari Sarawak dan terlibat sama semasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam membentuk Malaysia.
 
Dalam ucapan perbahasan setiap seorang dari mereka yang sangat jelas memperjuangkan kepentingan hakiki dari MA63 demi negeri dan rakyat Sabah Sarawak agar tiada lagi kekaburan, bukan tergesa-gesa hingga tak sampai seminggu deraf usul sudah boleh berubah tak sama dengan apa yang diserahkan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat.
 
Usul begini bukan boleh dibuat setiap hari. Bila laluan sudah terbuka, sepatutnya dirundingkan melalui Jawatankuasa Terpilih (Select Committee). Kerajaan PH sendiri telah wujudkan Jawatankuasa Peringkat Kabinet yang mengkaji segala aspek MA63. Mengapa tidak disiapkan dulu laporan Jawatankuasa ini, bentang kepada Dewan Rakyat?
 
Juga mengapa dalam soal sepenting ini rakyat dan negeri Sarawak tidak dirundingi terlebih dahulu dengan membawanya ke Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak? Lebih ramai perwakilan yang berada di sana di mana suara mereka perlu juga didengari dan dibuat resolusi di peringkat DUN yang akan memberi lebih kekuatan kepada usul di Dewan Rakyat ini agar perkara detik bersejarah ini dapat dimuktamadkan tanpa ada lagi sesiapa berani mempertikaikan selepas ini.
 
Jawapan Perdana Menteri bahawa Usul ini tidak perlu disembahkan untuk perkenan Majlis Raja-Raja kerana dakwanya ianya tidak menyentuh hak dan keistimewaan Raja-Raja Melayu adalah sangat perlu diperhalusi sama ada ia pendapat peribadi Perdana Menteri atau pandangan teknikal perundangan yang datang dari Pejabat Peguam Negara, Tommy Thomas. 
 
Perlu diingat dalam perbahasan beberapa Ahli Parlimen ada menyebut sokongan kepada usul ini antara lain adalah agar jawatan KDYMM SPB Yang Di Pertuan Agong diberi giliran kepada Sabah dan Sarawak.
 
Dengan pelbagai agenda PH  yang sangat dipengaruhi DAP,  kekhuatiran rakyat amat jelas risiko kepada agama Islam sebagai Agama Persekutuan dan hak-hak keistimewaan Melayu, Raja-Raja Melayu jika seseorang yang dinaikkan menaiki takhta YDP Agong bukan dari kalangan Raja-Raja Melayu yang bebas dari pengaruh politik. Harus diingat, perlantikan jawatan Yang di-Pertuan bagi negeri-negeri setakat ini jelas banyak didorong oleh sokongan politik 'government of the day' yang berkuasa ketika itu. Mereka, ramai berasal dari ahli politik.
 
Jika GPS nekad tidak mengundi usul pindaan Perlembagaan semalam, mereka faham benar akibatnya kepada sokongan akar umbi di Sarawak jika tindakan ini tidak menyokong aspirasi Sarawak. Dan mereka sangat nekad dalam hal ini seutuh pendirian nenek moyang mereka yang menjadi pahlawan-pahlawan Sarawak ketika bersama dalam Perjanjian Malaysia 1963.
 
PAS amat memahami kemahuan dan kehendak rakyat Sarawak ini dan faham benar kepentingan untuk tidak tertipu dengan pindaan beberapa patah perkataan sahaja dari Perlembagaan tanpa memasukkan rujukan jelas kepada MA63. PH kerap berhujah “oh semangat dari pindaan ini adalah untuk kembalikan hak rakyat sarawak, itu yang tersirat!”
 
Kita berhujah, dalam undang-undang, apa yang tersurat dan berbutir perkataannya, itulah yang berkuatkuasa, manakala “roh, spirit atau semangat adalah perkara tersirat adalah retorik yang sukar dipertahankan setelah tempoh masa berlalu dan mudah dibuat penafian.
 
Terenggganu dinafikan royalti petroleum berpuluh tahun walau ada hitam putihnya, jelas semangatnya. Buku Harapan yang ada hitam putihnya, dikatakan “bukan kitab suci” pula hingga boleh mungkir janji.
 
PAS menyokong perjuangan rakyat Sabah dan Sarawak untuk kesejahteraan keseluruhannya terutama agar natijah akhirnya pengukuhan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang sama sama kita kasihi.
 
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu 
10 April 2019 - HARAKAHDAILY 10/4/2019