26
Fri, Apr
12 Artikel Baru

Ketua AMK sekali lagi malukan diri sendiri

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Naratif jahat yang cuba melumurkan PAS dengan tuduhan menerima rasuah RM90 juta dan RM1.4 juta ternyata tidak pernah dibuktikan pihak berkuasa, termasuk juga di Parlimen.

Begitu juga cubaan Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mendakwa PAS berpuas hati dengan 1MDB terbidas malu ke muka sendiri menutur fakta tidak jujur.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari sinis menempelak tuduhan Akmal itu sebagai cuba 'menjaring gol awal' semasa Wacana Sinar Harian di Dewan Karangkraf, Shah Alam, semalam.

Malah, Akmal juga sebelum ini pernah mendakwa terdapat pimpinan PAS telah dibekukan akaun banknya berikutan memiliki wang tunai RM1 juta, manakala kenderaan bernilai jutaan ringgit pula disita.

Bagaimanapun, beliau selaku Ahli Parlimen Johor Bahru terpaksa akur dan menarik balik tuduhan dilemparkan itu ketika berucap dalam Perbahasan Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat, 12 Mac lalu.

Menurut Fadhli, PAS berpuas hati dengan 'penjelasan' yang diberikan oleh pihak 1MDB pada masa tersebut, tetapi susulan itu tetap tegas berpendirian mendesak ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, biarpun naratif tuduhan dilemparkan, PAS tetap terbuka supaya disiasat hingga ke akar umbi parti serta didedahkan nama penerima rasuah dimaksudkan.

Sangkal beliau, 'cerita dongeng' wang RM90 juta yang didakwa itu hakikatnya bukan sahaja sukar disembunyikan, malah PH sendiri adalah pihak berkuasa pada hari ini di mana boleh mengarahkan siasatan.

Namun kesali beliau, ketika PAS dilumurkan naratif jahat itu, PH pula dilihat membiarkan serta tidak bangun menghalang perbuatan mencabar ketuanan atau keutuhan Islam yang berlaku dalam negara.

Begitu juga kemukanya, perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila golongan LGBT berarak dan melaungkan slogan hidup mereka di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur secara bebas.

Bahkan katanya, terdapat Ahli Parlimen PH yang bangun membela menggesa siasatan tidak dilakukan kerana golongan tersebut telah memohon permit dan sebagainya lagi.

Fadhli turut menyindir pengakhiran siasatan ke atas kes disebutnya itu berikutan pihak yang akan menyiapkan kertas pendakwaan dilihat menari sepentas dengan individu mengepalai gerakan berkenaan. - HARAKAHDAILY 3/4/2019