19
Wed, Jun
12 Artikel Baru

PRK Rantau: PKR kalah, Anwar bermasalah

Berita
Typography
SEPERTI dijangka, penamaan calon untuk PRK N.27 Rantau, Negeri Sembilan, hari ini menyaksikan Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden Umno, Dato' Seri Mohamad Hasan, ditentang oleh Timbalan Ketua PKR Rembau, Dr Streram Sinasamy.
 
Kemasukan dua calon bebas, iaitu Mohd Nor Yasin dan Malar Rajaram, tidak dijangka akan mengubah apa-apa sebaliknya hanya memberi ruang kepada mereka untuk memeriahkan proses demokrasi selain menghadiahkan wang deposit mereka kepada pihak SPR.
 
Pemilihan Dr Streram sebagai calon PKR dalam PRK N.27 Rantau juga langsung tidak mengejutkan kerana ia telah diketahui jauh lebih awal lagi setelah pencalonan beliau diumumkan oleh Presiden PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim, pada 11 Mac 2019.  
 
Pencalonan Dr Streram adalah satu keputusan yang berani, apa lagi bila ia dibuat selepas media massa melaporkan berita rakannya dari PKR, Dato' Seri Santhara Kumar Ramanaidu, membuat laporan polis terhadap beliau kerana menipu sebanyak RM62,000.
 
Kata Dato' Seri Anwar, walaupun wujud tekanan yang mahukan calon Melayu bertanding di kerusi itu dan walaupun sedar isu perkauman dan keagamaan akan digunakan sepanjang tempoh kempen, PKR akan mempertahankan prinsip dasar keadilan semua kaum.
 
Menarik juga kenyataan Dato' Seri Anwar ini, khasnya apabila prinsip dasar keadilan semua kaum ini akan digunakan untuk melawan seorang calon yang berwibawa dan berketrampilan yang pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama tiga penggal.
 
Dalam tiga PRU sebelum ini, Dato' Seri Mohamad dilawan oleh calon Melayu PKR, iaitu Aisah Lamsah yang kalah dengan majoriti 4,613 dan 3,783 undi dalam PRU13 dan PRU12 serta Badrul Hisham Shaharin yang kalah dengan majoriti 6,199 undi dalam PRU11.
 
Soal mengapa calon Melayu yang diturunkan oleh PKR dalam tiga PRU sebelum ini kini dirasakan tidak lagi memenuhi prinsip dasar keadilan semua kaum berbanding calon bukan Melayu biarlah kita tinggalkan kepada Dato' Seri Anwar untuk menjawabnya.   
 
Dato' Seri Anwar mungkin masih teruja dengan kemenangan besar beliau dalam PRK P.132 Port Dickson pada 13 Oktober 2018 yang menyaksikan beliau meningkatkan majoriti kemenangan dari 17,710 undi dalam PRU 14 menjadi 23,560 undi dalam PRK ini.
 
Apatah lagi bila komposisi pengundi P.132 Port Dickson yang terdiri daripada 42.72 peratus Melayu, 33.11 peratus Cina dan 21.97 peratus India tidak jauh berbeza dengan komposisi pengundi N.27 Rantau yang terdiri daripada 53.43 peratus Melayu, 27.01 peratus India dan 18.81 peratus Cina.
 
Begitupun, perlu diingat bahawa PRK P.132 Port Dickson berlangsung dalam keadaan di mana Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih mengetuai Umno serta Dato' Seri Anwar hanya melawan calon PAS setelah Umno memutuskan untuk memboikot PRK ini.
 
Dato' Seri Dr Ahmad Zahid telah menyerahkan tugas-tugas Presiden Umno kepada Dato' Seri Mohamad pada 18 Disember 2018 dan beliau sejak itu telah, dengan sokongan kuat PAS, mengalahkan PH dalam PRK P.78 Cameron Highlands dan PRK N.24 Semenyih.
 
Dalam PRK P.78 Cameron Highlands, Pahang, pada 26 Januari 2019, calon DAP sekali lagi dikalahkan dengan majoriti 3,238 undi manakala dalam PRK N.24 Semenyih, Selangor, pada 2 Mac 2019 pula kerusi ini dirampas dari BERSATU dengan majoriti 1,914 undi.
 
Sementara N.24 Semenyih merupakan kerusi majoriti Melayu, P.78 Cameron Highlands merupakan kerusi campuran tetapi campurannya berbeza dengan campuran di P.132 Port Dickson dan N.27 Rantau kerana P.78 Cameron Highlands memiliki 21.56 peratus Orang Asli.
 
Jika PKR kalah dalam PRK N.27 Rantau, yang merupakan kerusi campuran 'sebenar', maka ini akan memberikan petunjuk yang negatif terhadap masa depan PKR dan Dato' Seri Anwar selaku Presidennya dalam PRU15 kerana kerusi campuran inilah tonggak PKR.
 
Isu perkauman dan keagamaan sudah pasti akan digunakan sepanjang tempoh kempen, apatah lagi apabila komposisi kerajaan negeri Negeri Sembilan yang tidak seimbang dengan 13 Adun bukan Melayu bukan Islam berbanding hanya tujuh Adun Melayu Islam.
 
Bila calon yang diturunkan oleh PKR adalah calon bukan Melayu bukan Islam, mungkin akan dijadikan sebagai isu apa perlunya ditambah bilangan Adun bukan Melayu bukan Islam tatkala suara mereka sudah amat kuat dalam Kerajaan Negeri Negeri Sembilan.
 
Begitupun, cabaran yang terpaksa ditangani oleh Umno ialah jika isu perkauman dan keagamaan begini digunakan dengan meluas maka sudah tentu ia juga akan menjejaskan sokongan pengundi bukan Melayu bukan Islam kepada Dato' Seri Mohamad.
 
Apa yang lebih baik ialah jika kempen dibuat bukan atas isu perkauman dan keagamaan, tetapi atas kekuatan peribadi calon dan atas kekuatan parti yang diwakili oleh calon dalam memperjuang dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh pengundi.
 
Apa pun, PRK N.27 Rantau bakal membawa implikasi berbeza kepada Dato' Seri Anwar dan Dato' Seri Mohamad, malah ini terpampang dalam tajuk muka depan akhbar Berita Harian hari ini berbunyi “PRK Dun Rantau: Ujian Pengaruh Anwar, Ketokohan Mat Hasan”.
 
Sementara semua pihak terpaksa mengakui bahawa Dato' Seri Anwar adalah seorang tokoh yang hebat jika Dato' Seri Mohamad kalah dalam PRK N.27 Rantau, masa depan Dato' Seri Anwar juga dijangka akan menjadi lebih suram jika Dato' Seri Mohamad menang. - HARAKAHDAILY 30/3/2019