20
Tue, Aug
29 Artikel Baru

Bukti PAS tidak sama Taliban, bukan pengganas

Berita
Typography
LARUT: Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Larut Kali Ke-57 mencatat sejarah apabila menerima serahan borang permohonan keahlian PAS dari bekas pegawai polis yang kebetulan juga sempena Peringatan Hari Polis Ke-212.
 
Bekas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Perak, Wan Jamil Wan Chik menyampaikan borang beliau kepada Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato' Ahmad Yakob, di Dewan Majlis Daerah Selama, semalam.
 
Menurut Yang DiPertua PAS Larut, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin, penyertaan beliau itu sekali gus menafikan bahawa PAS parti pengganas atau disamakan seperti Taliban oleh musuh-musuh politik PAS yang bankrap modal.
 
Malah katanya, ia menunjukkan rakyat semakin yakin dengan ijtihad politik dibawa Presiden PAS walhal beliau diserang bertalu dari segenap penjuru, sebaliknya berbondong-bondong anak muda dan profesional menyertai PAS.
 
Perwakilan Pemuda PAS Larut, Azrul Azwan Kabadi pula meraikan penyertaan Wan Jamil dan sedikit sebanyak perkara tersebut mampu menjernihkan palitan jahat terhadap PAS kesan serangan politik musuh.
 
"Kami gembira orang besar dari jabatan keselamatan negara menyertai PAS. Sedikit sebanyak ia jadi hujah bahawa kami bukan pengganas atau Taliban seperti dilontar musuh PAS," ujarnya.
 
Majlis perasmian tersebut juga menyaksikan julung kali kehadiran para pemimpin Umno Bahagian Larut yang diketui oleh Dr Mohamad Amin Zakaria. - HARAKAHDAILY 24/3/2019