18
Thu, Jul
41 Artikel Baru

Jangan tuding jari kepada orang Islam

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa serangan tembakan rambang di dua masjid Christchurch, New Zealand.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendoakan, agar semua mangsa pembunuhan itu dirahmati Allah serta diterima sebagai syuhada.

“Kita ucap takziah kepada keluarga-keluarga mangsa. Kita mengharapkan mereka dirahmati Allah, diterima sebagai syuhada kerana dibunuh secara zalim,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ijtima Guru PAS Terengganu 2019, di Dewan Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai, di sini, hari ini.

Namun, beliau menyifatkan, serangan pembunuhan secara zalim itu kesan ‘Islamofobia’ yang ditaja oleh barat selama ini.

Beliau mengingatkan agar insiden berdarah dan keganasan itu tidak dikaitkan kepada orang Islam yang melakukannya.

“Itu kesan ‘Islamofobia’ yang ditaja oleh barat. Di mana orang Islam menjadi mangsanya.

“Keganasan ini jangan tunding jari kepada orang Islam, di sana terdapat orang bukan Islam melakukan kerja-kerja melampau.

“Di mana kerja melampau ini dilarang dalam Islam. Hatta, dalam keadaan perang dan musuh menyerang sekalipun, kita tidak boleh balas dengan melampau.

“Itu diharamkan oleh Islam walaupun terhadap musuh yang menentang kita. Kita kena bertindak secara berpada-pada dengan adil, tidak boleh melampau sekali-kali,” tegasnya.

Ketika ditanya, apakah PAS kesal dengan insiden itu, kata beliau semestinya seluruh dunia akan kesal dengan tindakan pembunuhan sedemikian.

“Sepatutnya, bukan sahaja orang Islam termasuk orang bukan Islam kesal. Tadi, saya mendengar sidang media oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

“Apatah laginya, New Zealand ini negeri yang sangat terbuka kepada orang Islam. Menunjukkan sikap simpatinya kepada orang Islam. Mereka tak mendukung agenda Israel, itu New Zealand.

“Mungkin ini satu langkah yang nak memburukkan nama New Zealand,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Marang. – HARAKAHDAILY 15/3/2019