27
Mon, May
15 Artikel Baru

PAS desak dunia kutuk serangan ganas

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS mendesak seluruh dunia perlu mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pengganas yang meragut puluhan nyawa orang awam dalam serangan di dua masjid di bandar Christchurch, New Zealand, hari ini.

tuanib1Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penjenayah terbabit perlu diheret ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman setimpal kerana membunuh.

"Serangan ini menjelaskan Islam bukan punca keganasan dan ekstremis sebagaimana dilabelkan malah kita tahu New Zealand adalah sebuah negara yang aman dan harmoni selama ini.

"Namun insiden berdarah ini telah mencemarkan nama baik negara itu sebagai destinasi paling aman," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berpandangan kerajaan New Zealand juga perlu melaksanakan larangan pemilikan senjata api sebagai langkah keselamatan dan ketenteraman di negaranya.

"PAS menggesa masjid dan rumah ibadah dikawal rapi oleh pasukan keselamatan agar ia menjadi tempat paling selamat untuk beribadah," tambahnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Husnul khatimah

dr zulSementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, umat Islam yang terkorban dalam tembakan rambang yang berlaku di dua buah masjid di Christchurch hari ini disifatkan meninggal dalam keadaan husnul khatimah.

Katanya, mereka yang terkorban itu sedang mengadap Allah dalam keadaan berwuduk di dalam rumah Allah dan dalam keadaan menanti untuk solat berjemaah, dalam keadaan menanti solat Jumaat.

"Kesemua itu kebaikan demi kebaikan. Mati dalam husnul khatimah. Kita mengharapkan mereka diganjari dengan balasan yang sebaiknya di sisi Allah.

"Ditempatkan mereka sebagaimana disebut mereka itulah akan bersama para nabi, para siddiqin, para syuhada dan juga para salihin.

"Mereka inilah golongan yang terbaik yang Allah ganjarkan kepada mereka," katanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di sini, hari ini. - HARAKAHDAILY 15/3/2019