18
Sun, Aug
27 Artikel Baru

Nampak sangat Mukhriz gelabah

Berita
Typography

ALOR SETAR: Dato' Seri Mukhriz Mahathir dilihat berkeyakinan tinggi dengan rentak serta lenggok politik DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) kononnya akan mempertahankan beliau jika berlaku pengundian belah bahagi seperti yang pernah dihadapi pada sesi lalu.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, berkata, Menteri Besar Kedah itu kelihatan gelabah apabila Ketua Pembangkang Dun, Muhammad Sanusi Mohd Nor cuba mengusiknya baru-baru ini dengan kemungkinan politik luar jangka akan berlaku bila-bila masa ke atas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah hari ini.

"Nampak sangat beliau gelabah dan seolah-olah merasa ‘selamat’ sekiranya berlaku undi belah baki terhadapnya. Sedangkan beliau pernah kalah dalam kes seumpama itu apabila Adun DAP dan PAN mengambil pendirian berkecuali ketika itu," ujar beliau.

Selain itu, berkemungkinan juga Mukhriz amat cemburu apabila Barisan Nasional (BN) dapat bekerjasama dengan PAS dalam hal perpaduan ummah dan kepentingan Islam.

"Tetapi andaian dia masuk akal juga sebab sekiranya tujuh Adun PKR menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan, maka tersisihlah kerajaan pimpinannya sekarang ini. Yalah, dalam politik tiada yang mustahil," komennya lagi,

Tidak dinafikan, sikap Menteri Besar sekarang ini yang gemar berada di luar Kedah dalam tempoh yang lama membuatkan rakan-rakan sepakatannya merasa tidak puas hati terutama dari kalangan Adun-Adun PKR.

Walau bagaimanapun kata Dr Ahmad, setakat ini, PAS masih belum mendengar nyaringan suara sokongan padu daripada parti-parti komponen PH Kedah kepadanya.

“Silap haribulan, beliau kehilangan sokongan dan tiada siapa sanggup berada di belakang mempertahankannya.

"Kami juga tertunggu-tunggu ciri pengurusan Islam yang disebut oleh beliau yang menyatakan pentadbirannya juga mengamalkan sistem Islam seperti pembanterasan rasuah serta salah guna kuasa.

"Tapi nak tanya jugalah bagaimana pula dengan menunaikan janji manifesto? Sedangkan Islam menyuruh penganutnya berpegang pada janji," katanya.

Oleh itu, Mukhriz disarankan agar rajin-rajinlah mendengar rintihan rakyat.

“Selalulah turun menemui rakyat dan berjumpa para pegawai kerajaan, baharulah dia disegani rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2019