LGBT: Muslimat PAS, Wanita Umno lapor polis

Berita
Typography

TEMERLOH: Muslimat PAS dan Pergerakan Wanita Umno membuat satu laporan polis terhadap golongan yang memperjuangkan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgander (LGBT).

Laporan polis juga dibuat terhadap individu yang menghina Islam dan Rasulullah SAW.

Ketua Dewan Muslimat PAS Temerloh Ustazah Alawiah Kasdan berkata, golongan LGBT menggunakan sambutan Hari wanita untuk mempromosikan kegiatan mereka.

Katanya, tindakan itu adalah sesuatu yang menjijikkan dan patut dihalang.

“Semua rakyat tanpa mengira kaum di Malaysia sepatutnya membantah tindakan kumpulan terbabit,” katanya selepas membuat laporan tersebut semalam.

Hadir sama Ketua Pergerakan Wanita Umno Temerloh Dato' Juhanis Aziz dan Yang Dipertua PAS Temerloh Jusoh Darus.

Pada Sabtu lepas kira-kira 300 aktivis LGBT berarak sempena sambutan Hari Wanita di Kuala Lumpur. Mereka membawa bendera pelangi sebagai simbol LGBT.

Menurut laporan laman berita kedengaran laungan ‘jangan kacau LGBT’ dan ‘hidup LGBT’ ketika perarakan berlangsung. - HARAKAHDAILY 14/3/2019