26
Sun, May
38 Artikel Baru

Mangsa usir dibenar pulang, ditawar solusi

Berita
Typography
GEORGE  TOWN: Solidariti antara penduduk PPR Taman Manggis yang diusir bersama para NGO, parti politik dan orang ramai serta kuasa tular di media sosial akhirnya menyebabkan Kerajaan DAP Pulau Pinang akur dengan desakan awam itu.
 
Kerajaan DAP yang sebelum ini berkeras enggan melayan tuntutan penduduk dan mengabaikan mereka berkampung di kaki lima KOMTAR tanpa sebarang perhatian, telah membenarkan para penghuni tersebut pulang ke PPR Taman Manggis, semalam.
 
Bahkan menjadi kemenangan moral kepada semua pihak yang bersolidariti itu apabila pihak kerajaan negeri bersetuju menawarkan kepada para penyewa terbabit rumah kos rendah atau sederhana rendah melalui skim sewa beli.
 
Para penduduk berkenaan bersama sekalian 'penyokong' mereka mengadakan pelbagai acara yang menunjukkan kebangkitan rakyat dan memprotes tindakan kerajaan negeri sepanjang hampir seminggu 'berkampung' di situ.
 
Mangsa pengusiran tersebut kemudian diarak beramai-ramai kembali ke kediaman mereka sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan bersama itu dan sokongan berterusan kerana telah melalui ujian sedemikian dilakukan pihak kerajaan.
 
Hadir sama memberi sokongan pada pertemuan bersama penduduk itu adalah Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dan Ahli Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang, Saiful Lizan Md Yusoff.
 
Turut serta adalah Ketua Penerangan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ahmad Safuan Ujar dan Yang DiPertua PAS Kawasan Tanjong, Yaacob Omar pada pertemuan, semalam. - HARAKAHDAILY 14/3/2019